KMUM noraini ahmad

Lantikan semula Noraini langkah ironi – KMUM

Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM) menyuarakan keraguan atas pelantikan semula Datuk Seri Dr Noraini Ahmad sebagai Menteri Pengajian Tinggi, dengan menggariskan kegagalannya ketika memegang jawatan itu semasa era pentadbiran Perikatan Nasional (PN).

Menurut KMUM, pelantikan semula Noraini dilihat tidak selari dengan visi untuk lebih melibatkan anak muda dalam pemulihan negara, bahkan disifatkan kesatuan itu sebagai satu langkah yang ironi.

“Pelantikan semula Dr Noraini pada 27 Ogos…boleh dikatakan sebagai suatu langkah yang ironi bagi pengurusan institusi pendidikan tinggi, di mana pelbagai masalah dan kegagalan telah timbul sewaktu tempoh dia berkhidmat sebagai Menteri Pengajian Tinggi.

“Kegagalan menteri dalam menjalankan tugas ketika kerajaan yang lepas telah membuktikan bahawa dia tidak sesuai untuk memegang jawatan ini dan tidak mampu untuk menjalankan tanggungjawab sebagai seorang menteri pengajian tinggi,” kata kesatuan itu seperti dilaporkan Malaysiakini, hari ini.

Antara kegagalan dibangkitkan adalah penangguhan pendaftaran pelajar baru saat akhir yang diumumkan sehari sebelum hari pendaftaran bersemuka pada Oktober tahun lalu, yang menurut KMUM menimbulkan masalah buat pelajar.

Ini termasuklah pelajar dari negeri lain yang tidak dapat menetap di kolej dan terpaksa menanggung sendiri kos pulang ke kediaman masing-masing akibat penangguhan itu.

KMUM menambah, para pelajar dari Sabah dan Sarawak pula terpaksa menanggung sendiri kos ujian RT-PCR untuk pulang ke kampung halaman, sedangkan tuntutan KMUM untuk kos ujian berkenaan masih belum diselesaikan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Sehubungan itu, KMUM menggesa agar Menteri Pengajian Tinggi dipilih dalam kalangan mereka yang benar-benar mempunyai wawasan dan sedia berkhidmat untuk kepentingan mahasiswa.

Sebelum ini, netizen mengecam pelantikan Noraini sambil memberi alasan tersendiri berhubung sikap mereka menolak Ketua Wanita UMNO tersebut untuk memegang semula jawatan Menteri Pengajian Tinggi.

Pada 6 Ogos lalu, Noraini melepaskan jawatan tersebut serta merta kerana kononnya akur keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada 3 Ogos sebulat suara menarik sokongan kepada kerajaan PN dan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Noraini sebelum ini pernah dikritik hebat kerana menganjurkan pertandingan TikTok.

Ini termasuk memuat naik video TikTok selama 45 saat yang menampilkan dirinya tahun lalu.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *