KEMASUKAN pesakit Covid-19 ke unit rawatan rapi (ICU) di hospital-hospital Lembah Klang pada minggu ke-34 penularan wabak itu di negara ini menunjukkan trend penurunan selari dengan peningkatan liputan vaksinasi dos yang lengkap.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi catatan Facebook beliau berkata, di Hospital Sungai Buloh khususnya, kemasukan pesakit Covid-19 bagi kategori 4 dan 5 semakin berkurangan selepas mencatatkan peningkatan ketara pada minggu ke-30 penularan wabak.
“Alhamdulillah, kadar vaksinasi COVID-19 yang kian meningkat khususnya di Lembah Klang terus menunjukkan tanda-tanda awal yang positif.
“Marilah kita bersama-sama berusaha memastikan diri sendiri dan ahli keluarga tersayang yang layak menerima dos vaksinasi lengkap bagi mengurangkan risiko keterukan penyakit yang serius dan kemasukan ke hospital, mengurangkan risiko kemasukan ke ICU dan mengurangkan risiko kematian akibat Covid-19,” katanya hari ini.
Mengikut graf yang dikongsikan Dr Hisham, kemuncak kemasukan pesakit Covid-19 ke Hospital Sungai Buloh bagi kategori 4 dan 5 berlaku pada minggu ke-30 penularan wabak dan pada masa sama, Operasi Lonjakan Kapasiti Lembah Klang dilancarkan.
Pada ketika itu, kadar kemasukan pesakit berusia 40-59 tahun adalah sebanyak 285 orang, 20-39 tahun (182 orang) dan 60-79 tahun (109 orang).
Bagaimanapun pada minggu ke-34, jumlah kemasukan pesakit bagi kategori 4 dan 5 menunjukkan penurunan ketara apabila kemasukan pesakit berusia 40-59 tahun adalah sebanyak 117 orang, 20-39 tahun (57 orang) dan 60-79 tahun (81 orang).
Mengulas lanjut Dr Noor Hisham berkata, mengambil vaksin Covid-19, memakai dua pelitup muka dan pelindung muka, menjaga penjarakan fizikal dengan mengelakkan 3S (elakkan kawasan yang sesak, sempit dan sembang dengan jarak yang dekat) dan kerap mencuci tangan adalah usaha dan ikhtiar rakyat Malaysia.
“Ini dilakukan untuk mencegah dan membendung penularan jangkitan virus Covid-19. Lindung diri, lindung semua,” katanya.
Leave a Reply