Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
SEORANG lelaki sanggup melafazkan taklik ke atas isterinya di media sosial disebabkan pasangannya itu mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.
Isterinya yang juga seorang suri rumah, kemudiannya menghubungi peguam syarie bagi mendapatkan khidmat dan pengesahan sama ada taklik dilafazkan suaminya melalui Facebook itu sah atau sebaliknya.
Berdasarkan perkongsian yang dimuat naik melalui Facebook Peguam Syarie, Maryam Wafda Kamilen, suami isteri berkenaan adalah pasangan jarak jauh (PJJ) dan kejadian dilaporkan berlaku semalam.
Katanya, suri rumah itu mengakui mengambil suntikan vaksin dos pertama tanpa pengetahuan suaminya Selasa lalu.
“Ketika berbual melalui telefon mengenai vaksin, lelaki berkenaan melarang isterinya mendapatkan suntikan vaksin dan jika ingkar maka akan jatuh taklik.
“Suri rumah itu menghubungi saya untuk mendapatkan kepastian sama ada taklik dilafazkan suaminya jatuh atau sebaliknya,” katanya menurut laporan Harian Metro.
Beliau yang turut mengesahkan kes itu bukan kali pertama diterima syarikat guamannya berkata, suri rumah itu dinasihatkan merujuk kes berkenaan kepada Mahkamah Syariah untuk pengesahan.
Katanya, terdapat empat kes berkaitan dengan isu yang sama diterimanya sejak berlakunya penularan pandemik Covid-19 dan keperluan rakyat mendapatkan suntikan vaksin.
“Kami bersedia menawarkan perkhidmatan kepada semua suri rumah yang berhadapan dengan situasi itu.
“Kami menyarankan suri rumah yang berdepan dengan situasi itu supaya segera memfailkan kes itu di Mahkamah Syariah,” katanya.
Leave a Reply