MENTERI Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein memberi jaminan bahawa Tentera Darat akan melakukan apa jua yang terdaya dalam operasi pencarian bagi memastikan anggota yang hilang, Lans Koperal Mohamad Azrin Mohamad Isa, segera ditemui.
Beliau difahamkan bahawa operasi mencari dan menyelamat (SAR) anggota dari 10 Briged (Para) itu masih digerakkan dengan diketuai Tentera Darat dengan dibantu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam.
Hishammuddin berkata, Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain turut berada di lokasi kejadian.
“Saya akan terus pantau rapat perkembangan ini. Marilah kita doakan semoga operasi ini dipermudahkan.
“Tiada harapan lebih besar selain mahu Lans Koperal Mohamad Azrin dari 10 Briged (Para) ditemui dalam keadaan selamat,” katanya melalui ciapan Twitter, hari ini.
Sementara itu, Tentera Darat dalam kenyataan media mengesahkan insiden yang melibatkan Mohamad Azrin yang merupakan anggota Tinjau dari pasukan Kompeni PANDURA (Para) yang dipercayai lemas dan hilang ketika menjalani latihan penyusupan menyeberangi Sungai Pahang bagi Eksesais PARA PREDATOR Siri 1/2021 di Kawasan Am, Bera, Pahang.
Menurut Tentera Darat, semasa kejadian, anggota sedang melaksanakan Fasa Latihan Taktikal Menyeberangi Sungai di sekitar kawasan Kampung Batu Bor. Kejadian berlaku semalam pada pukul 4.40 petang.
“Tentera darat telah menggerakkan anggota operasi dan menyelamat namun tiada penemuan sehingga kini.
“Op SAR bersama pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 2 Pahang telah dilaksanakan di tempat kejadian semalam pada pukul 4.50 petang.
“Op SAR ini turut juga dibantu pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan orang kampung di kawasan di mana mangsa kali terakhir dilihat,” jelas Tentera Darat.
Pada pukul 7 petang semalam, operasi mencari dan menyelamat ditangguhkan sementara kerana keadaan cuaca yang semakin gelap dan Op SAR disambung hari ini.
Sebarang perkembangan tentang kejadian tersebut akan dimaklumkan dari masa ke semasa.
Tentera Darat berharap agar masyarakat tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menganggu misi pencarian ini serta bagi menjaga perasaan waris mangsa yang terlibat.
Leave a Reply