30 tentera maut dalam serangan dron, misil di Yaman

Susunan ABU UBAIDILLAH RAHMAN

SEKURANG-KURANGNYA 30 maut dalam serangan peluru berpandu dan dron di pangkalan tentera utama selatan Yaman semalam.

Menurut jurucakap tentera Yaman, kejadian itu antara serangan paling dahsyat sejak beberapa tahun kebelakangan.

Seorang anggota tentera yang terselamat, Nasser Saeed berkata, serangan itu berlaku di kawasan perumahan tentera di Pangkalan Udara Al-Anad.

“Peluru berpandu itu mendarat dan meletup di kawasan yang didiami 50 tentera,” katanya.

Jelas pegawai Yaman, sekurang-kurangnya tiga letupan berlaku di pangkalan udara itu namun tiada pihak yang mengaku bertanggungjawab atas insiden tersebut.

Sebaliknya, pegawai Yaman menyalahkan pihak Houthi atas serangan yang berlaku.

Walau bagaimanapun, jurucakap tentera Houthi tidak mengesah atau menafikan serangan itu.

Houthi sebelum ini melancarkan serangan serupa pada 2019 yang mengorbankan enam tentera.

Konflik yang berleluasa di Yaman telah mengorbankan 130,000 nyawa dan menyebabkan krisis kemanusiaan terburuk di dunia.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *