KADAR penggunaan katil (BOR) bagi pesakit Covid-19 di Selangor kini sudah menurun sehingga 35 peratus sehingga semalam.
Memetik Harian Metro, Pengarah Kesihatan Selangor, Datuk Dr Sha’ari Ngadiman berkata, data daripada Bilik Gerakan Perubatan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) itu diperolehi bagi tempoh 1 Ogos sehingga semalam.
“Kadar penggunaan katil (BOR) pesakit Covid-19 menunjukkan penurunan sebanyak 35 peratus dalam masa 28 hari di bulan Ogos.
“BOR pesakit Covid-19 pada 1 Ogos lalu adalah sebanyak 101 peratus, manakala pada 28 Ogos menurun kepada 65 peratus.
“Ini kadar secara keseluruhan di hospital-hospital Kementerian Kesihatan (KKM) di negeri Selangor,” katanya ketika dihubungi semalam.
Dr Sha’ari berkata, jumlah peratusan pesakit bagi kategori 5 dan 4 juga sudah menunjukkan penurunan berbanding kategori 1 hingga 3.
“Bagi kategori 5, kira-kira 8.5 peratus pada sepanjang bulan Ogos, manakala pesakit dalam kategori 4 menunjukkan penurunan drastik dari 49.2 peratus pada 1 Ogos kepada 26.6 peratus pada 27 Ogos, iaitu pengurangan sebanyak 23 peratus.
“Bagaimanapun kategori 3 menunjukkan peningkatan sebanyak 15.9 peratus dari 1 Ogos sehingga 27 Ogos.
“Pada masa yang sama, pesakit kategori 2 menunjukkan peningkatan 5.7 peratus dan pesakit kategori 1 menunjukkan peningkatan 1.1 peratus di sepanjang bulan Ogos,” katanya.
Mengulas perkembangan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang pula katanya, jumlah pesakit Covid-19 yang sedang dirawat menunjukkan penurunan sebanyak 46.6 peratus dari 1 Ogos hingga 20 Ogos.
Leave a Reply