Negeri Sembilan hampiri status imuniti kelompok

NEGERI Sembilan menghampiri status imuniti kelompok apabila 76.4 peratus daripada penduduk negeri ini yang berusia 18 tahun ke atas sudah lengkap dua dos vaksin.

Menurut Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, jumlah kes baharu harian di negeri itu juga menunjukkan kadar jangkitan kes terendah di Malaysia.

Beliau berkata, setakat 27 Ogos, seramai 76.40 peratus atau 622,081 individu berumur 18 tahun ke atas di negeri ini sudah lengkap divaksinasi sekali gus menghampiri imuniti kelompok.

“Selain itu, keberkesanan program vaksinasi ini dapat dilihat melalui jumlah harian kes baru positif Covid-19 yang dimuat naik oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Contohnya semalam hanya 345 kes dikesan, antara kadar terendah di Malaysia,” katanya, hari ini.

Aminuddin pada masa sama juga mengucapkan terima kasih kepada seluruh rakyat Negeri Sembilan yang sentiasa berusaha mematuhi prosedur standard operasi (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

“Harapan saya, semoga kita sentiasa mematuhi SOP supaya kes tidak kembali menular dan seterusnya menyukarkan Negeri Sembilan untuk beralih ke fasa seterusnya dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN),” katanya.

Menerusi data yang dimuat naik di laman Facebook miliknya, seramai 762,161 individu sudah mengambil dos pertama, manakala seramai 622,081 sudah lengkap proses vaksinasi.

Negeri Sembilan beralih daripada Fasa Satu ke Fasa Dua PPN mulai 26 Ogos sekali gus membolehkan lebih banyak sektor ekonomi dan sosial beroperasi.

Aktiviti rentas daerah bagi individu yang sudah lengkap menerima vaksin juga dibenarkan dengan mengemukakan kad atau sijil digital vaksinasi Covid-19 dan Mykad sebagai bukti apabila diminta untuk berbuat demikian.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *