PENDUDUK Kampung Lembaga di Gua Musang Kelantan terus berada dalam keresahan apabila tanaman pisang yang mereka usahakan sentiasa diancam gajah liar dua beranak.
Malah, ada dalam kalangan penduduk mendakwa mengalami kerugian apabila sebanyak 500 pokok pisang yang diusahakan dimusnahkan haiwan tersebut.
“Sampai bila kami terpaksa berhadapan kerugian apabila berulang kali gajah liar memusnahkan pokok pisang tanpa sebarang tindakan,” ujar Mohd Rosdi Ayub, 54, di Kampung Lembaga, Gua Musang hari ini, lapor Harian Metro.
Mohd Rosdi mendakwa, sehingga ini sebanyak 500 pokok pisangnya yang diusahakan di Jalan Subong dimusnahkan gajah liar tersebut.
Menurutnya, kejadian itu berlaku secara berulang kali sejak empat bulan lalu dan terbaharu pula berlaku pagi semalam.
Katanya, gajah liar dua beranak itu dipercayai masih berada dalam kawasan berkenaan dan kemungkinan lebih banyak lagi pokok pisang bakal dimusnahkan.
“Pokok pisang yang dimusnah itu sudah mengeluarkan hasil dan saya agak terkejut sebaik melihat keadaan pokok pisang bergelimpangan.
“Saya telah melaporkan masalah ini kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) tetapi masih belum ada tindakan, dibuat” katanya.
Seorang lagi penduduk, Mokhtar Osman, 36, memberitahu, bukan sahaja pendapatan terjejas disebabkan pokok pisang dimusnahkan gajah liar, tetapi dia juga berasa takut untuk keluar menoreh getah.
Katanya, dia pernah terserempak dengan gajah liar dua beranak itu berada dalam kebun pisangnya, tetapi dia sempat lari menyelamatkan diri.
“Ketika kejadian itu, saya sedang memunggut getah sekerap dalam mangkuk untuk diisi ke dalam tong.
“Kejadian itu berlaku pada pukul 7 pagi hingga terpaksa tinggalkan getah sekerap begitu sahaja dan sampai hari ini masih takut untuk menoreh getah,” ceritanya.
Leave a Reply