Bukan masanya UMNO kalut minta tubuh RCI Tommy

KETIKA Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri bukan main rancak Pergerakan Pemuda UMNO melalui Ketuanya Datuk Dr.Asyraf Wajdi Dusuki mendesak kerajaan melaksanakan moratorium dan pengeluaran i-Sinar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KSWP).

Walaupun tuntutat itu berterusan seperti mana diputuskan oleh Majlis Tertinggi (MT) UMNO malam kelmarin, tapi nampaknya Asyraf Wajdi sudah ada modal baharu untuk memberi tekanan kerajaan yang kini dipimpin oleh Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob iaitu ditubuhkan segera Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung pendedahan bekas Peguam Negara Tommy Thomas mengenai campur tangan politik dalam institusi Peguam Negara, Kehakiman dan Keselamatan.

Tertanya-tanya juga penulis kenapakah secara tiba-tiba MT UMNO begitu beria-ia mahu RCI itu ditubuhkan dengan segera sedangkan kerajaan sepatutnya menumpukan perhatian kepada isu yang lebih penting iaitu membawa negara keluar daripada pandemik Covid-19.

Penulis tidak mahu mentafsirkan apa yang tersirat di sebalik desakan atau gesaan itu, tetapi adalah wajar kerajaan khususnya Perdana Menteri tidak perlu melayan kehendak UMNO tersebut untuk sementara waktu ini.

Selesaikan dahulu isu Covid-19 yang kini mengancam nyawa rakyat dan menjejaskan ekonomi negara. Soal RCI Tommy Thomas itu mungkin hanya melibatkan seorang dua sahaja tetapi Covid-19 melibatkan berpuluh-puluh juta rakyat, justeru soal menyegerakan RCI tidak harus diperdebatkan.

Pemuda UMNO khususnya Asyraf Wajdi sepatutnya lebih memahami apa yang perlu diutamakan ketika ini, bukan mahu menjadi ‘jaguh’ kepada apa yang diputuskan oleh MT UMNO.

Kalau ia berkaitan dengan rakyat yang sedang menderita akibat pandemik Covid-19 silakan sahaja walaupun majoriti tuntutan UMNO sudah dipenuhi.

Dan sudah pasti seperti mana dijanjikan oleh Ismail Sabri, tumpuan Kabinet beliau ialah memulihkan negara dan memastikan kesejahteraan rakyat. Justeru agenda atau tumpuan tersebut tidak harus diganggu dengan desakan yang bukan-bukan daripada UMNO.

Kalau mencadangkan RCI itu ditubuhkan, tidak ada masalah tetapi dengan menekankan ia perlu SEGERA ditubuhkan ia agak janggal. Kenapa Asyraf Wajdi dan UMNO tidak mendesak supaya RCI Tabung Haji segera ditubuhkan, itu lagi bagus.

Dalam keadaan beberapa pemimpin UMNO sedang menjalani perbicaraan termasuk Presiden UMNO, Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi yang berhadapan dengan berpuluh-puluh pertuduhan rasuah dan salah gunakuasa, penulis rasa lebih wajar jika pemimpin parti itu termasuk Asyraf Wajdi tidak begitu ghairah sangat bercakap RCI menyiasat Tommy Thomas.

Mungkin ia tiada apa-apa kaitan tetapi politik ini berkaitan persepsi. Lagipun semua pemimpin UMNO yang didakwa telah bertekad untuk membersihkan nama mereka di mahkamah, jadi janganlah menjejaskan semangat mereka.

Rasanya pada ini  banyak lagi isu berkaitan rakyat yang patut menjadi keutamaan kepada UMNO termasuk Pergerakan Pemuda. Inshaallah apabila isu pandemik Covid-19, Ismail Sabri pasti akan melihat pula tuntutan-tuntutan UMNO yang lain.

Ia memandangkan sebagai Perdana Menteri banyak lagi urusan rakyat dan negara yang harus diselesaikan oleh Ismail Sabri, tambahan pula Asyraf Wajdi dan Pemuda UMNO perlu ingat semula apa kata-kata Ahmad Zahid ketika parti itu menarik sokongan kepada Muhyiddin sebagai Perdana Menteri pada 7 Julai lalu.

Antara lain Presiden UMNO itu yang menuntut Muhyiddin meletakkan jawatan berkata, ia untuk memberi laluan kepada seorang perdana menteri baharu dilantik untuk suatu tempoh yang terhad bagi menguruskan hal pandemik Covid-19 dan bantuan kepada rakyat.

Masa itu tidak wujud pun soal RCI berkaitan Tommy Thomas dalam tujuh perkara yang digariskan oleh Ahmad Zahid sebagai punca UMNO menarik sokongan terhadap Muhyiddin. Semuanya berkaitan pandemik Covid-19 . Ia bermakna RCI itu bukanlah penting sangat sehingga perlu disegerakan. Kenapa pula sekarang UMNO beria-ia mahu ia disegerakan?

Apapun pada pandangan penulis, Perdana Menteri tidak perlu membuang masa melayan tuntutan UMNO itu walaupun ia dipersetujui mesyuarat MT. Ismail Sabri bukannya memimpin negara keseorangan dan BN atau UMNO pun bukannya parti majoriti yang menguasai kerajaan.

Ismail Sabri perlu berunding dengan Kabinet yang terdiri daripada pelbagai parti. Sudah pasti mereka pun tidak akan melayan tuntutan UMNO kerana ia bukan waktu sesuai untuk memikirkan perkara selain memulihkan negara daripada Covid-19.

Jadi nasihat penulis kepada Asyraf Wajdi dan UMNO, bawalah bersabar. Jangan kalut sangat soal RCI tersebut. Biarlah Perdana Menteri dan kerajaan selesaikan dulu isu Covid-19. Jangan dok buat ‘semak’ dengan mendesak isu lain.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *