PAKATAN Harapan (PH) bersedia menerima perjanjian kepercayaan dan perbekalan (CSA) dengan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dengan syarat beliau membuat tawaran serupa seperti yang dilakukan pendahulunya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Bercakap pada forum dalam talian malam tadi, Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua mengesahkan rundingan sedang berlangsung antara blok pembangkang dengan Ismail Sabri, yang dilantik sebagai Perdana Menteri minggu lalu.
“Sekiranya beliau (Ismail Sabri) dapat melakukan itu, dan ini sedang dirundingkan sekarang, jika dia dapat menawarkan apa sahaja yang telah ditawarkan Muhyiddin (janji menggubal) undang-undang antilompat parti, mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri, dan reformasi parlimen, maka kami bersedia menawarkan gencatan politik untuk memberikan kestabilan bagi kerajaan.
“(Gencatan politik) untuk melakukan reformasi ini sebelum pilihan raya umum berikutnya. Inilah sesuatu yang sedang kami usahakan dan kami cukup optimis untuk mencapai keputusan positif daripada perbincangan ini,” kata Pua laporan Malaysiakini.
Ahli Parlimen DAP itu bercakap dalam forum yang dianjurkan oleh Oxford and Cambridge Society Malaysia, yang disiarkan secara langsung di Youtube.
Pua merujuk tawaran yang dibuat Muhyiddin pada 13 Ogos lalu, yang antara lain berjanji akan melaksanakan pembaharuan yang dituntut oleh pembangkang, bagi memastikan undi percaya terhadapnya diluluskan.
Ia dilihat sebagai usaha terakhir Muhyiddin untuk menyelamatkan kedudukannya setelah 14 Ahli Parlimen UMNO menulis surat kepada Yang di-Pertuan Agong bagi menarik balik sokongan terhadapnya.
Ismail Sabri mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri kesembilan di hadapan Yang di-Pertuan Agong pada Jumaat lalu setelah mendapat sokongan majoriti tipis daripada 114 Ahli Parlime.
Bagaimanapun dia akan berdepan undi percaya ketika Parlimen bersidang semula pada 6 September ini.
Pada Rabu lalu, Ismail Sabri dilapor mengadakan pertemuan dengan pemimpin Pakatan Harapan (PH) termasuk Ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebelum mengeluarkan kenyataan bersama yang mengatakan mereka bersetuju untuk memperkasakan institusi parlimen.
Anwar juga memberitahu wartawan bahawa gabungan pembangkang tidak akan “mempersulit” undi percaya terhadap Ismail Sabri jika dia bertindak demi kepentingan rakyat.
Menjawab pertanyaan daripada moderator, Pua mengaitkan peluang untuk berdialog dengan Ismail Sabri akibat kemelut dalam UMNO.
Menurutnya, ini kerana Ismail Sabri berdepan ancaman dari dalam yang menyebabkan beliau bersedia berunding dengan pembangkang.
“Anda betul, Ismail hanya salah seorang Naib Presiden dalam UMNO. Oleh itu, beliau lemah. Justeru kerana beliau lemah, ada ruang untuk kita merundingkan syarat-syarat yang akan mencapai faedah bagi masyarakat di luar sana. Ini sebenarnya akan mewujudkan demokrasi yang lebih baik untuk Malaysia.
“Sekiranya beliau kuat dan menguasai UMNO sepenuhnya, menguasai sepenuhnya rakyat dan gabungannya, beliau tidak akan memerlukan sokongan kita,” katanya.
Pua berkata, Kabinet baharu yang diumumkan Ismail Sabri semalam menunjukkan sebahagian besar Ahli Parlimen UMNO yang menarik sokongan kepada kerajaan PN, tercicir daripada senarai.
Beliau mendakwa hal ini menunjukkan Ismail Sabri mengambil sikap menentang kumpulan itu dalam partinya, dan PH berharap ia menjadi sebab bagi Ismail Sabri bersetuju dengan agenda reformasi.
Leave a Reply