Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
PELANTIKAN ahli-ahli Kabinet oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak sepatutnya dipertikaikan sehingga membantutkan usaha-usaha membawa negara keluar daripada pandemik Covid-19 dan ekonomi malap.
Profesor Pusat Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Mohd. Kamarulnizam Abdullah berkata, pertikaian yang tidak berkesudahan hanya menambah kegelisahan yang sangat berharap ekonomi negara dipulihkan segera.
“Mereka mahukan Perdana Menteri baharu, kita dapat PM yang baharu tetapi dengan kabinet yang boleh dikatakan seiras dengan kabinet sebelumnya. Perkara itu tidak akan menjejaskan apa-apa.
“Tidak perlu dipertikai siapa dalam kabinet kerana sebelum ini kita tidak pernah minta ahli kabinet pimpinan Muhyiddin letak jawatan.
“Sudah tentu Ismail Sabri memerlukan kesinambungan. Untuk meneruskan kesinambungan, beliau perlu mengekalkan ahli Kabinet lebih-lebih lagi mereka yang menguruskan portfolio-portfolio penting sebelum ini,” katanya ketika dihubungi SatuBerita.
Beliau berkata, Perdana Menteri tidak mempunyai banyak pilihan dalam melakukan pemilihan anggota Kabinet yang berpengalaman bagi menguruskan kementerian.
“Kalau kita perlukan wajah baharu dalam kabinet, siapa wajah baharu dalam kerajaan sekarang ini? Yang mana kerajaan sekarang hanya ada 114 MP. Kita perlu lantik dari kalangan MP dan juga mungkin dari kalangan senator yang ada.
“Secara asasnya, Ismail Sabri tiada pilihan dalam memilih ahli Kabinet yang berpengalaman untuk menggantikan menteri dibawah pimpinan Muhyiddin sebelum ini. Adakah beliau perlu lantik orang yang kurang berpengalaman dalam kalangan MP?
Mohd. Kamarulnizam turut berpandangan, sekiranya Perdana Menteri melantik wajah baharu sebagai ahli kabinet, sudah tentu akan ada perspektif baharu yang mana akan mengganggu implementasi serta dasar-dasar sedia ada sebelum ini bagi memerangi wabak COVID-19.
Menurut beliau lagi, sebagai ahli akademik, beliau berpandangan bahawa ini bukanlah masa yang sesuai untuk mengkritik, sebaliknya semua pihak perlu maju kehadapan dan menunggu menjelangnya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) sekiranya terdapat ketidakpuasan hati.
“Buat masa sekarang, ketepikan segala ideologi dan agenda politik, ini bukan masa yang sesuai. Kita tidak mampu untuk ada terlalu banyak perbezaan serta pertelagahan pendapat dalam krisis kesihatan yang meruncing ini.
“Saya berharap semua pihak boleh membuat komen yang boleh membantu negara dan membina keyakinan rakyat supaya proses membaik pulih negara dari wabak ini lebih lancar dan tidak membuatkan rakyat resah gelisah.
“Kalau terlalu banyak komen yang berbeza pendapat, kita akan merisikokan banyak perkara seperti ekonomi negara. Perkara seperti itu akan membuatkan pelabur-pelabur luar tidak yakin untuk melabur. Bila tiada keyakinan, kita tak boleh bergerak ke hadapan,” ulasnya.
Beliau turut berharap agar media-media diluar sana juga boleh mengurangkan komen-komen negatif kerana beliau percaya media perlu memainkan peranan ‘positivism’ yang boleh meyakinkan semua pihak bahawa kita sedang berada di landasan yang betul.
Leave a Reply