DATUK Seri Nazri Aziz memutuskan tidak akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Bercakap kepada portal Malaysiakini, Ahli Parlimen Padang Rengas juga akan mengundurkan diri daripada politik setelah enam penggal menjadi wakil rakyat sejak terpilih pada tahun 1995.
Nazri berkata, ada ramai pemimpin lebih muda seperti Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, 60, dan Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, 60, justeru beliau mahu menyerahkan tugas itu kepada generasi baru.
“Saya rasa ini adalah isyarat untuk orang-orang daripada generasi saya bahawa sudah tiba masanya kami pergi dan sokong pemimpin baharu,” katanya.
Nazri, 67, pernah dilantik sebagai Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-Undang) dan Menteri Pembangunan Usahawan.
Beliau pertama kali terpilih sebagai Ahli Parlimen Cenderoh pada tahun 1995 dan mempertahankan kerusi tersebut pada pilihan raya 1999, sebelum memenangi kerusi parlimen Padang Rengas dalam empat PRU berturut-turut.
Sebelum itu, dbeliau dilantik sebagai Ahli Dewan Negara pada tahun 1990.
“Saya rasa, ketika kami (Barisan Nasional) kalah dalam PRU 2018, ada hikmahnya kerana selepas itu, kami tidak dapat jadi kerajaan dan tidak lagi memiliki kuasa membentuk Jemaah Menteri. Jadi, jauh lebih mudah (untuk berundur).
“Zaman kegemilangan (saya) akan berakhir, tapi tidak apa. Saya puas nikmati masa saya dalam politik. Saya berusia hampir 70 tahun sekarang, jadi berundur dengan cara baik sangat penting,” kata Nazri.
Beliau berkata, ada ramai ahli politik baharu bersedia untuk menggantikan tempatnya, namun berkata hal itu akan ditentukan oleh parti.
Leave a Reply