Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
SEMUA program berkaitan vaksinasi dan strategi kesihatan berkaitan COVID-19 hanya akan dikendalikan Kementerian Kesihatan (KKM) melalui menterinya yang baru dilantik, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.
Sementara Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) pula yang kini diterajui bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba pula akan memfokus kepada penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk menghasilkan vaksin wabak berkenaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika mengumumkan perkara ini turut berkata, pengasingan tersebut dilakukan bagi membolehkan negara mengeluarkan vaksin Covid-19 sendiri sepertimana yang dilakukan Thailand.
“MOSTI akan fokus mengeluarkan vaksin sendiri kerana jika Thailand boleh mengumumkan akan keluarkan vaksin sendiri, maka Malaysia juga boleh mengeluarkan vaksin kerana Covid-19 akan menjadi endemik dan akan berada di persekitaran kita seperti penyakit denggi menyebabkan vaksin masih diperlukan.
“Sebab itu, MOSTI kena fokus supaya kita tidak bergantung kepada negara luar kerana apabila kes bertambah dan kita masih bergantung (bekalan vaksin) dari luar, itu akan menyebabkan bekalan agak terjejas. Jika kita boleh keluarkan vaksin sendiri keadaan akan berbeza,” jelasnya.
Ismail Sabri berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan Eksesais Para Predator Siri 1/2021 yang turut dihadiri Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang dan Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd. Zain di Kampung Batu Bor di Bera, Pahang hari ini.
Leave a Reply