TMJ adakan pertemuan dengan guru di Johor yang tolak vaksin

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

TUNKU Ismail Sultan Ibrahim mengadakan pertemuan dengan guru di negeri ini yang menolak untuk mengambil vaksin di di Bangunan Sultan Ibrahim, Bukit Timbalan, Johor Bahru, hari ini.

Tunku Mahkota Johor mendengar ulasan mengenai isu-isu yang mereka sedang hadapi.

“Daripada 779 guru yang asalnya menolak vaksin, didapati hanya 396 yang tidak mengambil vaksin atas sebab keraguan terhadap vaksin.

“Bakinya telah mengambil pendirian untuk ditangguhkan buat masa ini kerana mempunyai alahan, mengandung ataupun keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan.

“Sebilangan guru telah kini bersetuju mendaftar untuk mengambil vaksin,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Unit Media dan Komunikasi Istana Bukit Pelangi, Johor Bahru, hari ini.

Kenyataan Tunku Mahkota Johor itu turut dimuat naik dalam Facebook rasmi miliknya, HRH Crown Prince of Johor.

Menerusi perjumpaan itu Tunku Ismail berkongsi maklumat mengenai program vaksinasi dan situasi terkini pandemik Covid-19 di Johor.

“Saya berharap guru-guru ini sedar tanggungjawab mereka untuk sentiasa ketengahkan pembangunan modal insan dengan menjadi teladan yang baik,” ujar Tunku Mahkota Johor.

Tunku Ismail berharap mereka akan mengambil vaksin sebelum sekolah dibuka semula demi memastikan kesihatan dan kesejahteraan rakyat.

Turut hadir dalam pertemuan itu Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Azmi Rohani; Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pengurusan), Datuk Mohd. Noh Ibrahim dan Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Datuk Dr. Aman Rabu.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *