KENAPA besar sangat? Kenapa orang itu tak dipilih? Kenapa orang ini boleh masuk Kabinet? Apa perubahannya..tak ada pun…muka sama saja!
Itulah antara komen-komen dalam sosial media termasuklah dalam grup-grup WhatsApp. Masing-masing ada pandangan tersendiri, buatlah macam manapun pasti ada yang tidak berpuas hati. Tetapi apa boleh buat ini negara demokrasi, semua orang berhak memberikan pendapat masing-masing secara bebas.
Namun dalam keterujaan memberikan komen-komen cuba berfikir dengan tenang, jangan ikut emosi, apatah lagi dibelenggu oleh sentimen kepartian. Fakta yang tidak harus dilupakan ialah kerajaan yang dipimpin oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri sekarang masih disertai oleh gabungan parti-parti yang sama.
Semua ahli Parlimen yang berada dalam blok kerajaan sekarang, adalah ahli Parlimen yang ada ketika Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri.
Justeru pembentukan Kabinet ini bukanlah selepas sebuah pilihan raya diadakan sebaliknya hanya melibatkan pertukaran bagi jawatan Perdana Menteri. Atas sebab itulah dasar-dasar yang dilaksanakan oleh pentadbiran dahulu seperti Pelan Pemulihan Negara (PPN) akan diteruskan.
Tambahan pula, kerajaan di bawah kepemimpinan Ismail Sabri juga berhadapan dengan masalah dan cabaran yang sama itu pandemik Covid-19. ‘Peperangan’ ini belum berakhir dan atas dasar inilah majoriti menteri dikekalkan walaupun ada berubah portfolio.
Sementara Datuk Seri Mohamed Azmin Ali terus dikekalkan di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang sebelum ini Menteri Kanan Luar Negeri (Kluster Keselamatan) telah ditugaskan sebagai Menteri Kanan Pertahanan manakala Khairy Jamaluddin yang sebelum ini menunjukkan prestasi cemerlang di Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi khususnya dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) telah ditukarkan portolio lebih mencabar iaitu sebagai Menteri Kesihatan. Beliau bertukar portfolio dengan Datuk Seri Dr.Adham Baba.
Dalam keadaan belum pulih daripada pandemik Covid-19, pembentukan Kabinet perlu dibuat secara berhati-hati kerana dasar sedia ada belum berubah. Ia juga selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong yang mahukan dasar kerajaan sebelum ini terutamanya PPN dikekalkan dan diteruskan.
Ia bermakna apa yang dilaksanakan oleh Muhyiddin sebelum ini sudah meletakkan negara di landasan yang betul untuk membawa negara keluar daripada pandemik Covid-19. Tetapi malangnya, ia lebih banyak ditutupi dengan ‘serangan politik’ yang tidak berkesudahan’.
Atas sebab itulah Ismail Sabri dalam ucapan menegaskan, ‘’ Umum mengetahui saya menerima kerajaan ini dalam keadaan seadanya. Justeru, pembentukan Kabinet ini merupakan satu formulasi semula berdasarkan situasi semasa, demi mengekalkan kestabilan dan meletakkan kepentingan serta keselamatan Keluarga Malaysia lebih daripada segala-galanya.’’
Dan jangan lupa beliau juga menegaskan, ‘’Barisan Kabinet ini dipilih daripada kombinasi mereka yang berpengalaman, diyakini mampu membantu negara memulihkan ekonomi dengan menyokong usahawan, memudah cara perniagaan, dan merancakkan semula aktiviti ekonomi serta meningkatkan keyakinan pelabur.’’
Kehadiran semula Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim, Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar dan Ahli Parlimen Padang Terap, Datuk Seri Mahdzir Khalid ke dalam Kabinet membuktikan keseriusan Ismail Sabri untuk memastikan mereka yang berpengalaman membantu beliau menguruskan negara pada waktu getir ini.
Shahidan akan meneruskan agenda yang telah dilaksanakan oleh Tan Sri Annuar Musa yang dilantik Menteri Komunikasi dan Multimedia. Tugas Shahidan menjadi mudah kerana Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh telah melaksanakan pelbagai projek yang memungkinkan Kementerian Wilayah menunjukkan prestasi memberangsangkan.
Pemilihan Mahdzir Khalid sebagai Menteri Pembangunan Luar Bandar amat tepat sekali kerana beliau dilihat Ahli Parlimen ‘jiwa orang kampung’. Kesungguhan beliau membangunkan Parlimen Padang Terap sudah membuktikan keupayaan beliau manakala Noh pula bagaikan ‘sirih pulang ke gagang’ apabila dilantik sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi – kementerian yang pernah beliau terajui pada 18 Mac 2008 hingga 9 April 2009.
Begitu juga dengan langkah membawa masuk semula Ketua Wanita UMNO, Datuk Noraini Ahmad – yang sebelum ini dikatakan antara ‘kumpulan 15’ Ahli Parlimen UMNO yang menjadi penyebab Kerajaan Perikatan Nasional di bawah kepemimpinan Muhyiddin tumbang.
Ini adalah peluang kepada Noraini untuk ‘menebus dosa’ apabila meletakkan jawatan secara mengejut sebagai Menteri Pengajian Tinggi dan kini beliau diberikan semula kedudukan itu, maka beliau tidak boleh lagi bertindak sesuka hati seperti mana dilakukan sebelum ini atas alasan mematuhi arahan parti.
Tambahan pula beliau kini berada dalam kerajaan yang semua menterinya hampir sama dan dipimpin oleh Naib Presiden UMNO.
Noiraini akan dibantu oleh bekas Timbalan Menteri Alam Sekitar, Datuk Dr.Ahmad Masrizal Muhammad yang menunjukkan bagaimana Ismail Sabri mahu menjadikan penyertaan Ahmad Masrizal lambang citra Kabinet yang mempunyai kepelbagaian termasuk golongan profesional dan intelektual.
Pengekalan beberapa lagi menteri juga tidak harus dipolemikkan kerana mereka juga menunjukkan prestasi memuaskan sebelum ini seperti Datuk Seri Mustapa Mohamed, Datuk Seri Rina Harun, Datuk Zuraida Kamarudin.
Apa yang penting sekarang ialah kesemua anggota Kabinet tersebut tidak kira sesiapapun termasuk bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu perlu diberi peluang melaksanakan tugas masing-masing dengan tenang.Janganlah terlalu awal menghukum mereka termasuk bermain sentimen kenapa muka lama masih dikekalkan. Perlu diingat sebelum ini sesiapa juga menjadi Perdana Menteri dan apabila Kabinet dibentuk akan ada persoalan muka lama, muka baharu ini.
Kalau mahu diikutkan, ketika zaman Barisan Nasional (BN) berapa ramai muka lama dikekalkan dalam Kabinet tetapi selagi mereka menunjukkan prestasi memuaskan maka mereka harus diberi peluang.
Mungkin ada yang tidak berpuashati merasakan dia lebih layak berada dalam Kabinet dan ada pula tidak habis-habis dengan idea dangkal Kerajaan Perpaduan atau Unity Government.
Cukup-cukuplah berpolitik. Sekarang masa untuk semua pihak bergabung tenaga bagi memulihkan negara. Barisan Kabinet sudah ditubuhkan dan diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong, oleh izinkan mereka menjalankan tugas masing-masing.
Negara ini tidak akan aman, politik Malaysia tidak akan stabil selagi ada puak-puak yang merasakan apa sahaja yang kerajaan buat tidak betul. Tukarlah berapa kali Perdana Menteri sekalipun, mereka tetap tidak berpiuashati kecualilah apa yang mereka ingin dipenuhi dan agenda politik mereka tercapai.Itu sahaja.
Kesimpulannya, berilah peluang kepada Ismail Sabri dan barisan Kabinet melaksanakan agenda menguruskan negara.
Leave a Reply