SERAMAI 16 menteri Kabinet dilantik semula di kementerian yang diterajui mereka di bawah pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini.
Mereka ialah Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Kanan Pendidikan; Datuk Dr Radzi Jidin; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Daruk Seri Mustapa Mohamed; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak); Datuk Seri Dr Maximus Johnity Ongkili dan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.
Turut dilantik semula mengetuai kementerian yang sama ialah Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan; Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun; Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin; Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee; Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi; Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Seri Nancy Shukri dan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique.
Mengulas tentang lantikan semula itu, Tengku Zafrul mengucapkan ribuan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
“Sesungguhnya tanggungjawab ini adalah amanah yang sangat besar dan insya-Allah, saya dan #TeamMOF, serta agensi-agensi di bawah Kementerian Kewangan akan terus melakukan yang terbaik demi kesejahteraan rakyat, kelangsungan perniagaan dan ketahanan ekonomi negara,” katanya dalam hantaran Facebook.
Sementara itu, Mohamed Azmin mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri atas kepercayaan dan amanah untuk beliau kekal memimpin Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).
“Insya-Allah, saya terus komited untuk memastikan ekonomi akan terus mara di atas pertumbuhan mampan dan pemulihan yang lestari demi Keluarga Malaysia,” katanya melalui Twitter.
Radzi berkata, hasrat Perdana Menteri untuk melihat setiap kementerian menjadi kementerian berprestasi tinggi akan diikhtiarkan sebaiknya.
“Penekanan kepada tiga konsep utama di Kementerian Pendidikan iaitu K-Kualiti, P-Produktiviti dan M-Modenisasi akan kami teruskan dalam usaha mengukuhkan Kementerian Pendidikan sebagai sebuah kementerian berprestasi tinggi,” ujarnya.
Nancy pula berikrar untuk mencapai prestasi terbaik dalam tempoh 100 hari selepas dilantik dalam Kabinet serta yakin beliau mampu meneruskan khidmat terbaik di kementerian yang diterajuinya dalam Kabinet Tan Sri Muhyiddin Yassin, sebelum ini.
“Saya ingin mengucapkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob atas kepercayaan yang diberikan kepada saya untuk meneruskan khidmat kepada rakyat sebagai Anggota Jemaah Menteri bagi portfolio Pelancongan, Seni dan Budaya,” katanya.
Ahli Parlimen Batang Sadong itu berkata, beliau bersedia untuk mendepani cabaran membantu sektor pelancongan dan kebudayaan dalam waktu sukar sekarang.
Dalam pada itu, Ka Siong bersedia serta bersemangat untuk menyelesaikan beberapa perkara tertangguh di Kementerian Pengangkutan.
“Selain perancangan dan program-program pembangunan melibatkan sektor pengangkutan darat, udara dan maritim, memastikan pergerakan barangan kepada rakyat tidak terbantut ke arah pemulihan ekonomi negara juga menjadi keutamaan,” jelasnya dalam hantaran Facebook.
Dalam hantaran Facebook, Saravanan menjunjung kasih ke atas perkenan Yang di-Pertuan Agong terhadap pelantikan semula beliau sebagai Menteri Sumber Manusiadalam kabinet baharu.
“Setinggi-tinggi terima kasih kepada Perdana Menteri di atas keyakinan terhadap diri saya bagi menggalas tanggungjawab berat memastikan segala aspirasi dan keperluan tenaga kerja negara sentiasa dilindungi dan disantuni,” ujarnya.
Maximus yang juga Ahli Parlimen Kota Marudu akan terus komited mengendalikan perkara berkaitan Sabah dan Sarawak di peringkat Persekutuan menerusi pelantikan beliau sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak).
Beliau yang juga Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) menghargai kepercayaan Perdana Menteri kepadanya untuk terus mengendalikan hal ehwal kedua-dua negeri terbabit.
“Bagi pihak PBS, kami menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada Perdana Menteri atas peluang yang diberikan sekali lagi untuk berkhidmat kepada rakyat dalam Kabinet.
“Peranan yang diberikan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) sudah tentu amat penting serta strategik terutamanya isu mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) di mana rakyat di negeri Sabah dan Sarawak meminta penyelesaian terhadap pelbagai ketidakpatuhan terhadap MA63.
“Banyak perkara yang dilakukan dalam mengenal pasti masalah untuk diselesaikan dan rancangan tindakan yang telah disusun terutamanya untuk perkara yang memerlukan perubahan dalam polisi, peraturan selain tindakan undang-undang dan Perlembagaan,” katanya.
Ronald yang turut dilantik mengetuai kementerian yang sama berjanji akan memastikan beliau melakukan yang terbaik dalam menggalas tanggungjawab sebagai Menteri Pertanian dan Industri Makanan.
“Ini adalah satu tanggungjawab dan amanah yang sangat besar. Namun dengan sokongan dan kerjasama jabatan serta agensi di bawah MAFI, saya akan menggalas tanggungjawab ini.
“Saya juga akan melakukan yang terbaik untuk memastikan jaminan sekuriti makanan negara, kelangsungan rantaian bekalan makanan dan industri agromakanan serta memelihara kebajikan warga tani keseluruhannya demi ‘Keluarga Malaysia’,” katanya.
Alexander yang diberi kepercayaan sekali lagi untuk menerajui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna berazam untuk meneruskan banyak rancangan yang tergendala susulan perubahan pucuk pimpinan negara.
“Ketika saya meninggalkan kementerian ini susulan peletakan jawatan Perdana Menteri ke-8 (Tan Sri Muhyiddin Yassin) sebenarnya terdapat banyak perancangan yang dirangka bagi membantu pengguna dan komuniti peniaga di negara ini.
“Dengan pelantikan semula saya sebagai Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, saya komited untuk meneruskan perancangan yang tergendala itu yang banyak tertumpu kepada usaha kerajaan membantu memulihkan ekonomi rakyat serta sektor peruncitan dan perdagangan domestik negara,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Noraini berkata, sebagai satu keluarga, semua pihak harus bersama-sama berganding bahu dan bersatu hati mendepani pandemik Covid-19.
“Bersama-sama kita berdoa pandemik ini segera berakhir agar kita semua terutamanya anak-anak pelajar dapat menikmati kehidupan dan pembelajaran seperti biasa,” jelasnya.
Leave a Reply