YDSM sumbang 8,000 Kit Ujian Kendiri Covid-19 bernilai RM280,000 kepada JKNT

Oleh MOHD. LAZIM ENDUT

YAYASAN Diraja Sultan Mizan (YDSM) menyumbang sebanyak 8,000 unit Kit Ujian Kendiri Covid-19 bernilai R280,000
Kepada Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT).

Sumbangan tersebut diserahkan Ahli Lembaga Pemegang Amanah YDSM, Datuk Tuan Azri Sani Datuk Mazlan kepada pengarah JKNT, Datuk Kasemani Embong dalam satu majlis ringkas di pejabat YDSM, Kuala Terengganu, hari ini.

Menurut Tuan Azri Sani, sumbangan tersebut bertujuan bagi meringankan dan meminimumkan beban serta tanggungjawab yang terpaksa dipikul oleh petugas di barisan hadapan khususnya JKNT.

Katanya, melalui Kit Ujian Kendiri Covid-19, setiap petugas lebih mudah menggunakannya di samping cepat menerima keputusan.

Selain itu menurut beliau, itu juga dapat membantu mempercepatkan proses pengasingan kendiri bagi mana-mana individu yang mempunyai kontak dengan individu postif Covid–19.

Malah, melalui sumbangan ini YDSM berharap dapat meringankan beban kewangan golongan kurang berkemampuan khususnya golongan asnaf yang melakukan ujian Covid –19.

“Harapan kita, setiap perkara dilakukan adalah untuk membantu memutuskan rantaian jangkitan pandemik tersebut,” ujar beliau.

Tuan Azri Sani memberitahu, selain Kit Ujian Kendiri Covid-19, YDSM sebelum ini juga menyalurkan beberapa bantuan lain seperti sumbangan makanan kepada barisan hadapan JKNT di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) sejak Februari lalu dengan perbelanjaan berjumlah RM30,000 sebulan.

Beliau berkata, lain-lain sumbangan termasuk barangan dapur kepada golongan asnaf khususnya para penerima bantuan YDSM yang terjejas sumber pendapatan ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sejak tahun lepas.

“Untuk itu, YDSM membelanjakan sekitar RM200,000 yang mampu memberi manfaat kepada seramai 900 keluarga,” jelas beliau.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *