Gerakan

Tubuh jawatankuasa khas tangani Covid-19 di Pulau Pinang

Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

PARTI Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) menggesa Kerajaan Negeri Pulau Pinang menubuhkan jawatankuasa khas untuk membanteras penularan wabak Covid-19 dengan segera susulan kadar kebolehjangkitan Covid-19 (Rt) di negeri itu yang tertinggi dalam negara ketika ini.

Menurut Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, Oh Tong Keong, ketika ini dianggarkan kira-kira 105 orang dalam setiap 100,000 penduduk negeri Pulau Pinang dijangkiti Covid-19 dan kadar jangkitan itu disifatkan sangat membimbangkan.

Katanya, kadar kebolehjangkitan Covid-19 di Pulau Pinang juga telah melebihi Selangor dan keadaan mungkin akan menjadi lebih serius pada masa depan sekiranya tidak ditangani dengan segera.

“Banyak isi keluarga di Pulau Pinang dijangkiti Covid-19 dan sekiranya kesemua pesakit terpaksa dikuarantin di rumah akibat kekurangan katil di hospital dan pusat kuarantin, bagaimana mereka dapat membeli makanan dan barangan termasuk barangan kesihatan serta penjagaan diri?” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Tong Keong yang juga Timbalan Presiden Gerakan Pusat berkata, Kerajaan Negeri Pulau Pinang juga perlu menubuhkan pasukan petugas khas kecemasan komuniti di kesemua 40 Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) supaya bantuan segera dapat dihulurkan kepada penduduk yang terkesan. 

Selain itu tambahnya, talian bantuan dalam tiga bahasa juga wajar dibuka untuk membantu dalam pengendalian isu-isu Covid-19.

Jelasnya, talian bantuan dalam tiga bahasa itu penting supaya kerja pengaturan dan penghantaran pesakit yang serius ke hospital dan usaha bantuan dapat dijalankan dengan berkesan.

“Kerajaan negeri harus mengambil berat keadaan Covid-19 di Pulau Pinang kerana penduduk negeri ini tidak lagi mampu berdepan dengan satu lagi serangan virus khususnya varian Delta yang memburukkan lagi situasi pandemik Covid-19 di negeri ini,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *