Penjawat awam digesa bersatu hati, terus berjuang menentang Covid-19

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

KETUA Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohd. Khairul Adib Abd. Rahman menggesa penjawat awam segera bangkit dan bersatu hati untuk terus berjuang dalam peperangan Covid-19.

Beliau berkata, peperangan melawan pandemik itu telah menyebabkan tekanan, ketidakstabilan emosi, kelelahan pandemik dan sebagainya.

“Ini kadang kala melemahkan, kita perlu segera bangkit, saling berpaut, bersatu hati, bertahan dan terus berjuang. Bertahan adalah tindakan terbaik di saat berhadapan dengan isu semasa.

“Hari ini, pepatah ‘penjawat awam adalah tunjang negara’ benar-benar terpateri dan menjadi tiang seri yang memerlukan penjawat awam untuk kekal utuh walau apa pun yang mendatang.

“Pandemik Covid-19 telah memberi impak yang besar kepada negara dari aspek ekonomi, politik dan sosial.

Saya percaya hikmah yang kita pelajari daripada semua ini adalah ia mengukuhkan lagi semangat perpaduan kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam perhimpunan bulanan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang disiarkan menerusi Facebook rasmi jabatan itu hari ini.

Pada perhimpunan itu, Mohd. Khairul turut melancarkan Sistem Pengurusan Amalan Nilai (SPAN 2.0) Perkhidmatan Awam.

SPAN dibangunkan pada tahun 2007 telah ditambah baik dan menetapkan supaya semua kementerian, jabatan, agensi kerajaan melaksanakan pengurusan amalan nilai secara holistik bagi meningkatkan tahap pengamalan nilai dan integriti di peringkat individu dan organisasi.

Mohd Khairul berkata, dalam usaha memutuskan rantaian Covid-19, seluruh rakyat Malaysia termasuk penjawat awam bersatu memberikan komitmen sepenuh hati dalam menyahut misi bagi mencapai imuniti kelompok melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

“Selepas usaha vaksinasi ini selesai, kita masih perlu mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan jangkitan ini daripada berulang kembali,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *