Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
POLIS menahan empat individu termasuk pasangan kekasih serta merampas pelbagai jenis dadah yang kesemuanya bernilai hampir RM60,000 dalam
dalam dua serbuan berasingan di Ampang, Kuala Lumpur pada Selasa lalu.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur, Superitendan Mohd. Shokri Abdullah berkata, menerusi serbuan itu pihaknya berjaya membongkar modus operandi suspek yang menjadikan rumah sewa sebagai stor menyimpan dadah.
Beliau memberitahu, kegiatan itu terbongkar selepas polis melakukan risikan selama dua minggu ke atas sindiket tersebut yang dipercayai aktif sejak tiga bulan di Lembah Klang.
Menurutnya, dalam serbuan pertama di tempat letak kereta di Jalan Ritchie Off Jalan Ampang, polis memberkas seorang ahli sindiket dan merampas dadah jenis Methamphetamine anggaran berat 66 gram dan 50 pil erimin 5 dalam beg yang dipegang lelaki itu.
“Susulan daripada penahanan itu, polis melakukan serbuan ke atas sebuah rumah di kawasan yang sama dan menahan tiga individu termasuk suspek utama dan teman wanitanya.
“Dalam serbuan itu, polis merampas dadah jenis Methamphetamine anggaran berat 954 gram, ganja (376 gram) dan 1,000 pil erimin 5,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mohd. Shokri memberitahu, kesemua nilai rampasan dalam kedua-dua serbuan adalah 1.02 kilogram dadah Methamphetamine bernilai RM41,000; ganja 376 gram (RM940) dan 1,050 pili Eramin 5 (RM15,750).
Mengulas lanjut, beliau berkata, hasil siasatan mendapati rumah tersebut yang disewa RM2,800 sebulan oleh suspek utama itu, dijadikan sebagai tempat penyimpanan dadah.
Katanya, rumah tersebut baru tiga bulan disewa dan jumlah rampasan dadah itu boleh digunakan oleh 3,842 penagih dadah.
“Ujuan saringan air kencing mendapati kesemua empat suspek itu positif dadah Methamphetamine serta mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah,” ujarnya.
Kesemua mereka katanya, ditahan reman selama tujuh hari sehingga 31 Ogos ini.
Beliau memberitahu, keempat-empat suspek yang berusia 23 hingga 30 tahun itu disiasat mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan.
“Dengan tangkapan ini, kita percaya berjaya menumpaskan kegiatan pengedaran dadah yang didalangi oleh warga tempatan yang dikesan aktif di sekitar Lembah Klang,” ujarnya lagi.
Leave a Reply