TAN SRI Muhyiddin Yassin yakin hubungan baik Malaysia dan Singapura akan terus ditingkatkan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, perkara itu disampaikan ketika menerima panggilan telefon daripada Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loon yang menghubungi beliau bagi bertanya khabar dan mengetahui perkembangan selepas Muhyiddin tidak lagi menerajui negara.
‘’Hsien Loong turut merakamkan penghargaan dan terima kasih atas hubungan serta kerjasama baik yang kami sama-sama jalinkan sepanjang lebih setahun bergelar rakan sejawat, dan berdoa saya dapat terus memainkan peranan dalam aspek hubungan dua hala antara kedua-dua negara,’’ katanya dalam kenyataan melalui Facebook.
Beliau berkata, Perdana Menteri Singapura itu juga memberi jaminan langkah memperkasakan hubungan dua hala antara kedua-dua negara dalam pelbagai aspek.
‘’Secara peribadi, saya amat menghargai nilai persahabatan yang ditunjukkan Hsien Loong, bukan sahaja kebelakangan ini, bahkan ketika kami saling mengenali lama dahulu.
‘’Masih segar diingatan pertemuan bersemuka dan bersejarah kami di tengah-tengah Tambak Johor pada Julai tahun lepas, iaitu sejurus saya menjawat jawatan Perdana Menteri, manakala beliau sendiri baru saja mengangkat sumpah bagi menyambung tugas sebagai Perdana Menteri. Saya doakan Lee Hsien Loong diberikan kesihatan dan dipermudahkan urusan mentadbir Singapura,’’ katanya
Leave a Reply