Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
BAGI mengurangkan perasaan takut untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19, seorang wanita orang kurang upaya (OKU) mendengar lagu dendangan Ziana Zain untuk menenangkan dirinya.
Ariyanti Abdul Samad, 37, yang merupakan OKU ‘sindrom down’ berbuat demikian kerana penyanyi wanita popular itu merupakan penghibur pujaannya.
Kakaknya, Azlina, 46 memberitahu, bagi mengurangkan perasaan takut adiknya, dia memasang lagu-lagu nyanyian Ziana Zain sejak mereka keluar dari rumah di Senai, Johor Bahru untuk menghadiri janji temu suntikan vaksin berkenaan.
“Adik saya memang suka dengar lagu Ziana Zain. Jadi, saya dengarkan lagu nyanyian penyanyi itu sepanjang perjalanan untuk bagi adik rasa tenang dan tidak terlalu memikirkan tentang jarum suntikan.
“Proses untuk menerima vaksin di PPV pandu lalu ini juga menjadi sangat mudah dan lancar memandangkan petugas-petugasnya pandai mengendalikan individu OKU,” katanya ketika ditemui di PPV Pandu Lalu OKU Sentral di Pusat Akuatik Arena Larkin, Johor Bahru semalam.
Aryanti merupakan antara 400 penerima suntikan vaksin Covid-19 di PPV tersebut yang memulakan operasi semalam.
Pembukaan PPV itu disempurnakan Presiden Persatuan OKU Sentral, Senator Ras Adiba Radzi diiringi Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Noorazam Osman dan Pengarah Eksekutif Hospital Pakar KPJ Puteri, Khairun Ahmad.
Azlina berkata, walaupun Aryanti berasa gementar namun dia tetap memberi kerjasama baik kepada petugas di PPV berkenaan.
Bagi L. Mohana, 31, pula, pembukaan PPV pandu lalu khusus buat individu OKU sepertinya adalah suatu perkara yang positif dalam memastikan golongan berkenaan turut diberi perlindungan daripada wabak COVID-19.
“Biasalah mula-mula memang berasa sedikit gemuruh, itu normal tetapi selepas disuntik saya berasa lega kerana proses menerima vaksin telah selesai.
“Saya juga harap PPV pandu lalu seperti ini diperluas di banyak lokasi lain bagi memudahkan golongan OKU seperti kami,” katanya yang kehilangan tangan kiri sejak 2014 selepas diserang kanser tulang.
PPV Pandu Lalu OKU Sentral itu akan memberikan suntikan vaksin kepada 20,000 penerima sepanjang dua bulan beroperasi dan ia dikhususkan kepada OKU dan warga emas serta penjaga mereka.
Leave a Reply