Oleh RIZQI ZABIDI
PEMANTAUAN berterusan dijalankan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) bersama-sama beberapa lagi agensi di Gunung Jerai telah mengesan sebanyak 47 runtuhan tanah di kawasan itu yang dipercayai menjadi antara punca berlakunya kemusnahan besar dalam tragedi aliran debris atau aliran puing di kawasan itu, minggu lalu.
Pengarah JMG Kedah, Perlis dan Pulau Pinang, Abdullah Sulaiman berkata, runtuhan itu dipercayai berpunca daripada jumlah hujan lebat luar biasa seperti dinyatakan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sebelum ini.
“Kalau setakat kepala air biasa, fenomena itu memang biasa terjadi dan tidak akan membawa kepada kemusnahan sebanyak ini.
“Namun kali ini tragedi kepala air itu disertakan dengan tanah runtuh dari cerun tinggi akibat hujan lebat. Seperti dinyatakan MetMalaysia sebelum ini, jumlah hujan lebat selama lapan jam pada hari kejadian menyamai jumlah hujan dalam tempoh sebulan dan perkara itu menjadi pencetus kepada kejadian tanah runtuh yang berlaku,” katanya dalam sidang akhbar, hari ini.
Tambahnya, keadaan itu bagaimanapun bukanlah disebabkan oleh kegiatan manusia sebaliknya sememangnya kejadian semula jadi yang akan membantu menstabilkan kembali cerun-cerun terlibat.
“Kejadian ini berlaku apabila batuan di cerun-cerun itu mengalami proses luluh hawa. Proses ini mengambil jangka masa panjang dan berlaku secara semula jadi tanpa ada campur tangan manusia,” katanya dalam sidang akhbar .
Sementara itu beliau berkata, sebanyak 25 daripada kejadian tanah runtuh tersebut ditemukan di kawasan Titi Hayun manakala 10 lagi berada di Batu Hampar.
“Selain itu terdapat 10 kawasan tanah runtuh dikesan di laluan utama untuk naik ke Gunung Jerai, satu di Lembah Bujang dan satu di Tanjung Jaga.
“Runtuhan itu ada dalam pelbagai saiz dengan yang kecil berkeluasan antara dua hingga lima meter manakala yang besar pula berkeluasan 10 hingga 50 meter,” katanya.
Tambahnya, kebanyakan runtuhan bersaiz besar itu ditemukan di kawasan Titi Hayun dan Batu Hampar.
“Keadaan itu menjelaskan mengapa tragedi itu memberi kesan yang amat buruk di kedua-dua kawasan tersebut,” katanya.
Dalam pada itu katanya, jumlah 47 lokasi runtuhan tanah itu mungkin akan bertambah kerana pengumpulan data sedang dijalankan di kawasan Tupah ketika ini.
“Penerokaan kawasan di sebelah Tupah sedang berjalan dengan menggunakan dron dan peralatan lain bagi mengenal pasti keadaan di sana,” katanya.
Leave a Reply