ISTANA Negara hari ini mengesahkan Yang di-Pertuan Agong Al Sultan Abdullah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah berkenan menerima persembahan senarai anggota jemaah menteri Kabinet baharu daripada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Istana Abdulaziz di Kuantan.
Dalam kenyataan melalui Facebook, Istana Negara memaklumkan Al-Sultan Abdullah menerima menghadap Perdana Menteri selama 1 jam 30 minit bermula pukul 11 pagi.
‘’Sesi menghadap hari ini merupakan yang kali kedua bagi Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selaku Perdana Menteri. Sesi menghadap yang pertama telah berlangsung selepas Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia beliau sebagai Perdana Menteri di Istana Negara pada 21 Ogos lalu,’’ kata kenyataan tersebut.
Selesai menghadap Seri Paduka dan Raja Permaisuri Agong telah berkenan mengurniakan santapan tengah hari kepada Perdana Menteri.
Leave a Reply