caj

Delta Airlines kenakan caj insurans tambahan pekerja enggan divaksin

SYARIKAT Delta Airlines dilapor meminta pekerjanya yang enggan divaksin membayar tambahan premium insurans kesihatan yang ditaja firma itu sebanyak AS$200 dolar (RM838) setiap bulan.

CNBC melaporkan, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ed Bastian berkata, langkah bermula November itu bagi menampung kos sekiranya pekerja mereka dimasukkan ke hospital akibat terkena jangkitan itu.

Pekerja yang enggan divaksin juga berdepan sekatan lain termasuk diwajibkan memakai pelitup muka di dalam pejabat berkuatkuasa serta merta selain menjalani saringan Covid-19 secara mingguan bermula 12 September.

Langkah itu adalah usaha terakhir firma Amerika Syarikat (AS) melonjakkan kadar pengambilan vaksin di negara itu.

“Purata kos rawatan Covid-19 bagi setiap pekerja Delta adalah sebanyak AS$50,000 (RM209,525).

“Bayaran tambahan ini diperlukan untuk menangani risiko kewangan berikutan keputusan untuk tidak mengambil vaksin untuk syarikat kami.

“Sejak kebelakangan ini selepas munculnya varian B.1.617.2, semua pekerja Delta yang telah dimasukkan ke hospital kerana Covid-19 tidak mengambil vaksin lengkap,” katanya.

Berapa syarikat Amerika Syarikat termasuk United Airlines telah mewajibkan pekerja mereka mendapatkan suntkan vaksin bagi melindungi daripada jangkitan varian Delta yang mudah menular.

Presiden AS, Joe Biden juga mendesak syarikat swasta agar memberikan vaksin kepada pekerja dengan kadar segera.

Beberapa jam selepas Delta Air mengumumkan bayaran tambahan itu, Kanada Air turut membuat pengumuman pekerja yang tidak divaksin selewat-lewatnya 30 Oktober akan berdepan dibuang kerja atau cuti tanpa gaji.

Syarikat itu juga mengubah polisi menjadikan vaksinasi penuh sebagai syarat mengambil pekerja baharu.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *