Oleh MOHD. LAZIM ENDUT
MASALAH liputan rangkaian internet yang lemah di Terengganu terutama di luar bandar dapat diselesaikan setelah siapnya pembinaan 88 menara telekomunikasi baharu.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman memberitahu, sehingga ini sebanyak 13 menara sudah siap, 10 masih dalam pembinaan, manakala 65 lagi dalam proses akhir tender.
Selain itu katanya, sebanyak 409 menara komunikasi sedia ada pula akan dinaik taraf kepada capaian 4G di mana 88 daripadanya telah siap dan selebihnya bakal siap secara berperingkat menjelang hujung tahun ini.
Menurut beliau, selain itu sebanyak 38,216 premis sedang dinaik taraf talian tetap fiber optik melibatkan sebanyak 22,609 siap dipasang dan selebihnya dijangka siap secara berperingkat menjelang hujung tahun hadapan.
“Buat masa ini, terdapat 64 pusat internet komuniti di seluruh negeri dengan dua lagi pusat internet komuniti baharu dalam peringkat akhir tender,” ujarnya.
Ariffin memberitahu demikian kepada pemberita selepas melawat tapak naik-taraf jalur lebar 4G di Kampung Payong, Setiu hari ini.
Menurut Ariffin, inisiatif Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) banyak memberikan kesan positif kepada Terengganu dengan peningkatan liputan 4G daripada 93.54 peratus pada tahun lalu, kepada 93.83 peratus pada Mac tahun ini.
Beliau berkata, inisiatif JENDELA fasa 1 adalah bertujuan meningkatkan liputan 4G kepada 96.9 peratus, selain peningkatan jalinan fiber optik kepada lebih 38,000 premis baharu di seluruh negeri ini.
Malah katanya, kerjasama di antara kerajaan negeri dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mampu memberikan liputan jalur lebar kelajuan tinggi yang lebih menyeluruh di seluruh negeri ini.
“Perkembangan ini dapat menyokong keperluan ekonomi digital, penyampaian aplikasi digital kerajaan negeri, pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR),” jelas beliau.
Leave a Reply