Redakan suhu politik, PM adakan pertemuan dengan pemimpin pembangkang

DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mencapai beberapa persetujuan bersama dengan pemimpin-pemimpin pembangkang dalam satu pertemuan di Putrajaya yang disifatkan sebagai usaha meredakan suhu politik negara sepertimana dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong  Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah

Perdana Menteri berkata, pertemuan selama lebih satu jam itu, tertumpu kepada agenda kepentingan rakyat dalam mencari titik persamaan yang terbaik bagi menangani krisis pandemik Covid-19, menjaga nyawa dan keselamatan diri daripada ancaman wabak dan membebaskan rakyat daripada cengkaman ekonomi berikutan kehilangan pekerjaan dan pendapatan.

‘’Persetujuan bersama turut dicapai dalam memperkasa fungsi Parlimen Malaysia sebagai institusi yang bertanggungjawab dan konstruktif, menyemak dan mengimbang tadbir urus eksekutif supaya lebih telus dan memenuhi kehendak rakyat,’’ katanya dalam kenyataan.

Pemimpin pembangkang yang hadir adalah Ketua Pembangkang dan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Amanah , Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

‘’Saya bersama pemimpin-pemimpin pembangkang juga bersetuju dan memahami peri pentingnya kebebasan badan kehakiman, reformasi institusi dan tatakelola kerajaan yang baik bagi memastikan keadaan yang lebih kondusif untuk rakyat dan negara dalam konteks Keluarga Malaysia,’’ katanya.

.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *