SULTAN Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, pertembungan antara vaksin dan virus akan berterusan sehingga Allah SWT mengurniakan kebijaksanaan akal manusia agar berupaya mengatasi daya lawan dan daya tahan virus.
Baginda bertitah, dalam konteks melawan COVID-19, vaksinasi adalah inisiatif pencegahan terhadap jangkitan virus berkenaan, manakala imunisasi pula adalah perisai pertahanan untuk meningkatkan daya imuniti.
Sultan Nazrin bertitah, Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) adalah langkah semasa dilaksanakan secara besar-besaran untuk meningkatkan daya tahan rakyat dalam menghadapi ancaman virus.
“Virus COVID-19 mencetuskan medan tempur baharu, kehidupan alam kini menghadapi serangan musuh biologi. Wabak ini akan terus berada dalam kalangan dan persekitaran kehidupan alam.
“Virus ini masih muda dan baharu, namun menunjukkan daya lawan dan daya tahan tersendiri, berkeupayaan bermutasi, menghasilkan pelbagai varian baharu untuk mengatasi vaksin ciptaan manusia.
“Pertembungan vaksin dan virus akan berterusan sehingga Allah Subhanahu Wata’ala mengurniakan kebijaksanaan akal manusia berupaya mengatasi daya lawan dan daya tahan virus ini,” titah baginda pada perasmian Mesyuarat Pertama Tahun Keempat Dewan Negeri Perak Ke-14, di Ipoh, hari ini.
Titah baginda, sehingga 24 Ogos lalu, sejumlah 1,118,358 orang telah menerima dos pertama dan 797,317 lagi sudah lengkap menerima dos kedua, iaitu 42.8 peratus daripada jumlah populasi dewasa di negeri ini.
“Kerajaan beta sedang mengusahakan inisiatif untuk mencapai kadar imunisasi kelompok dengan mempercepatkan program vaksinasi.
“Program pemberian vaksin juga dipertingkatkan dan ditambah baik melalui program jangkauan, menggerakkan pasukan khas ke lokasi pedalaman, mendekati dan menyantuni masyarakat di luar bandar dan masyarakat Orang Asli,” titah baginda.
Sultan Nazrin bertitah, doktor, jururawat, petugas kesihatan dan perubatan, pemandu ambulans dan kereta jenazah, penggali kubur serta pengurus rumah jenazah tiba-tiba dilanda tanggungjawab berat di luar jangka, berada di barisan paling hadapan menghadapi risiko jangkitan paling tinggi.
“Satu beban tanggungjawab yang tidak pernah terbayang perlu dihadapi oleh profesion masing-masing. Begitu juga risiko besar yang dihadapi oleh penghantar makanan, petugas di kedai runcit, di pasar raya dan di farmasi.
“Pengendali pengangkutan awam, anggota pasukan keselamatan dan agensi berkaitan serta pegawai awam di pelbagai jabatan dan agensi kerajaan yang mengendalikan pelbagai perkhidmatan penting. Mereka telah melaksanakan satu tugas fardu kifayah yang wajib dihargai,” titah baginda.
Bagi menzahirkan penghargaan kepada petugas barisan hadapan serta ahli keluarga mereka, Sultan Nazrin berkenan berdiri dan mengajak khalayak DUN memberikan tepukan penghargaan.
Menyentuh kaedah beribadah ketika pandemik, Sultan Nazrin bertitah, Islam adalah agama yang mendasari segala aspek kehidupan seiring dalam apa jua perubahan keadaan dan peredaran zaman.
“Norma baharu kaedah beribadah ketika menghadapi pandemik, merupakan salah satu contoh yang menggambarkan agama Islam amat memahami realiti suasana tanpa menafikan kesempurnaan pelaksanaan ibadah seseorang hamba.
“Pendekatan maqasid syariah, konsep darurat, fiqah alawlawiyat dan seumpamanya yang berlandaskan kerangka syariat melalui Al-Quran dan As-Sunnah menjadi ukuran dan pertimbangan, demi menjamin kemaslahatan serta menolak sebarang bentuk fasad yang sangat bertentangan dengan prinsip Ilahi.
“Penerimaan terhadap perubahan kaedah beribadah ini dapat dihayati melalui interaksi ilmu agar wujud kefahaman yang hakiki supaya tidak timbul salah faham mengenai Islam sehingga boleh merosakkan kredibiliti agama,” titah baginda.
Sultan Nazrin bertitah, COVID-19 turut memberi kesan terhadap kutipan hasil pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini dengan hasil PBT secara keseluruhan pada 2020 menurun RM256.74 atau bersamaan 20.2 peratus berbanding hasil 2019.
Titah baginda, Majlis Perbandaran Kuala Kangsar mengalami hampir 58 peratus penurunan hasil, berjumlah RM164 juta dan menjadi PBT yang mengalami penurunan hasil paling ketara, manakala Majlis Daerah Perak Tengah mengalami 61 peratus penurunan hasil berjumlah RM47.84 juta.
“Walaupun kemudahan-kemudahan seperti stadium dan dewan tidak mendatangkan hasil kerana tidak digunakan, PBT masih perlu menanggung pelbagai kos penyenggaraan.
“Di samping menghadapi hasil yang terjejas, PBT diperlukan pula menampung pelbagai perbelanjaan tambahan kerana anggota-anggotanya turut terlibat sebagai petugas barisan hadapan,” titah baginda.
Leave a Reply