TAN Sri Muhyiddin Yassin bukanlah Perdana Menteri (PM) terburuk seperti didakwa sebaliknya adalah antara yang terbaik pernah ada untuk negara ini.
Ahli Parlimen Saratok Datuk Ali Biju dalam satu kenyataan berkata demikian bagi menyangkal dakwaan bekas timbalan presiden PKR Syed Husin Ali bahawa Muhyiddin adalah PM ‘terburuk’ yang pernah ada.
Ali menegaskan, tiada PM sebelum Muhyiddin yang sanggup mengorbankan tugasnya dengan menolak berkompromi atas prinsip penting.
“Beliau sanggup mengorbankan kedudukan sebagai PM daripada menyerahkan kepada kleptokrat atau campur tangan urusan mahkamah.
“Jauh sekali untuk menjadi PM yang gagal, beliau malahan meletakkan satu standard pada tingkah laku sebagai Perdana Menteri,” katanya, hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas mengenai portal berita dalam talian, Syed Husin menyatakan bahawa sejarah tidak akan menilai Muhyiddin Yassin sebagai PM.
Ali berkata, sekiranya diminta menilai Muhyiddin sebagai PM, beliau merasakan pasti ramai yang tidak dapat mengatakan bahawa Muhyiddin adalah seorang terbaik pernah ada tetapi secara jujurnya hampir menjadi PM yang terburuk pernah ada.
Menurutnya, beliau tidak terkejut dengan serangan Syed Husin kepada bekas PM itu kerana Syed Husin telah lama menjadi pemimpin PKR dan merupakan penyokong tegar kepada Anwar Ibrahim.
“Ia adalah demi kepentingan politik pembangkang dan penyokongnya untuk menunjukkan penyalahgunaan terhadap Muhyiddin tetapi sejarah akan menilai beliau dengan cara berbeza,” tegasnya.
Selain itu kata Ali, Syed Husin menyalahkan Muhyiddin kerana tidak ‘memiliki cukup majoriti’ apabila PH bersatu dengan kleptokrat mengancam majoriti Muhyiddin semasa negara berdepan dengan krisis kesihatan.
Katanya, tetapi lebih buruk lagi meskipun tidak mempunyai jumlah mencukupi tersendiri, PH menjatuhkan kerajaan kerana keinginan mereka mendapat kuasa persekutuan.
“Jangan kita lupa, Muhyiddin merupakan satu-satunya Perdana Menteri menawarkan tujuh perkara untuk pembaharuan dalam landskap politik negara,” katanya.
Leave a Reply