Oleh MOHD LAZIM ENDUT
PULAU Perhentian Besut yang sebelum ini kelihatan agak tenang dan damai kerana lokasinya yang terpisah dengan tanah besar, tiba-tiba mula ‘beralun’ ekoran berlaku penularan jangkitan Covid-19 di Pulau berkenaan.
Langkah itu diambil, memandang terdapat sebanyak 75 kes positif dikesan sejak Jumaat lalu menyebabkan penduduk di pulau peranginan tersebut diminta menjalani ujian saringan secara besar-besaran, hari ini.
Malah, warga masyarakat termasuk pengusaha dan pekerja chalet dan resort turut dikenakan sekatan pergerakan dalam usaha untuk mengekang penularan virus tersebut.
Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu Datuk Dr. Kasemani Embong memberitahu, proses ujian saringan itu yang membabitkan hampir 70 peratus penduduk pulau dijangka selesai sepenuhnya petang ini.

Menurut beliau, penduduk telah menjalani ujian calitan Covid-19 yang dijalankan Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu sejak Jumaat lalu sebagai langkah untuk mencegah penularan di pulau peranginan terkenal itu.
“Ujian calitan terpaksa dilakukan kerana terdapat 75 kes positif Covid-19 dikesan setakat hari ini dan sekatan pergerakan keluar masuk pulau juga telah dimulakan sejak Jumaat lalu.
.
“Punca penularan yang berlaku bukanlah jangkitan daripada pelancong sebaliknya ia disebabkan pergerakan penduduk pulau yang berulang alik menjalankan urusan di tanah besar,” katanya kepada pemberita di Kuala Terengganu hari ini.
Sementara itu, Dr. Kasemani memaklumkan, kesemua penduduk pulau yang positif covid-19 ditempatkan di Hospital Setiu dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Kem Wawasan dan Institut Pendidikan Guru Kampus Sultan Mizan Besut.
Beliau berkata, kesemua mereka yang positif berada dalam keadaan stabil.
“Mereka yang dikesan sebagai kontak rapat pula diberikan arahan untuk kuarantin di rumah dengan pengawasan ketat oleh penguatkuasa kesihatan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM,” ujar beliau.
Leave a Reply