ADUN

ADUN Perak mesti pamer semangat politik matang

SULTAN PERAK, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah mahu setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri itu mempamerkan semangat politik matang beraras tinggi dan saling bekerjasama, saling menghormati serta membantu usaha yang dilaksanakan untuk kepentingan negeri dan kepentingan rakyat.

Merujuk titah baginda semasa berlangsungnya Istiadat Pelantikan ADUN Kota Tampan, Datuk Saarani Mohamad sebagai Menteri Besar Perak pada Disember tahun lalu, Sultan Nazrin bertitah, baginda menzahirkan titah agar kerajaan negeri Perak merintis jalan untuk meminimumkan perselisihan politik.

“‘Menyahut titah berkenaan, Menteri Besar ketika membentangkan Belanjawan 2021 telah mengumumkan peruntukan saksama untuk kesemua 59 orang ahli Dewan Negeri tanpa sebarang diskriminasi, sama ada ahli Dewan dari parti pembangkang atau parti pemerintah.

“‘Langkah yang dirintis oleh Menteri Besar adalah langkah berani, memperkenalkan budaya baharu dalam pentadbiran negeri.

“Langkah tersebut mungkin satu langkah permulaan yang kecil, tetapi jika terus disuburkan akan membantu melonjakkan budaya politik baharu aras tinggi yang kurang berkonfrontasi sifatnya,” titah Sultan Nazrin pada perasmian Mesyuarat Pertama Tahun Keempat Dewan Negeri Perak Ke-14, di Ipoh, hari ini.

Sultan Nazrin bertitah, setiap ADUN juga hendaklah menyambut langkah tersebut dengan menunjukkan sikap timbal balik yang menghargai budaya baharu itu dengan mempamerkan semangat politik matang beraras tinggi, saling bekerjasama, saling menghormati, saling membantu usaha-usaha yang dilaksanakan untuk kepentingan negeri dan kepentingan rakyat.

Baginda seterusnya bertitah, semua ADUN hendaklah sama-sama berusaha memupuk semangat perpaduan dan semangat kewarganegaraan antara rakyat berbilang kaum yang menganut pelbagai agama, mengamalkan pelbagai budaya dan menguasai pelbagai bahasa.

Sultan Nazrin bertitah lagi, Dewan Negeri Perak adalah tempat yang membolehkan rintihan rakyat didengari melalui suara ahli-ahli Dewan yang sudah dipilih dan mendapat mandat rakyat semasa pilihan raya.

“‘Dalam negara yang mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan-demokrasi berparlimen, Dewan Negeri sebagai sebuah badan perundangan, berperanan penting untuk mengukuhkan amalan demokrasi, juga untuk mengimbangi peranan cabang eksekutif, terutama untuk menyemak, membahaskan dan meluluskan perbelanjaan negeri,” titah Sultan Nazrin.

Titah Sultan Nazrin, kerajaan perlu memberi perhatian serius terhadap ancaman keselamatan bekalan makanan dengan mengaktifkan sektor pertanian, ternakan dan perikanan.

Baginda menegaskan, keadaan keselamatan makanan dunia semakin kritikal berdasarkan amaran Program Makanan Sedunia bahawa daripada 27 juta penduduk yang diancam risiko kebuluran pada 2019, kini meningkat kepada 41 juta di 43 negara.

“Peningkatan risiko kebuluran didorong oleh kenaikan harga barang makanan penting, ditambah dengan konflik, perubahan iklim dan masalah ekonomi, diburukkan lagi oleh pandemik,” titah baginda.

Baginda bertitah, setiap negara wajib memikirkan langkah strategik untuk menghadapi segala kemungkinan dalam suasana wabak terus merebak.

“Sektor pertanian, ternakan dan perikanan sangat perlu diperkenalkan dengan budaya kerja dan budaya pengeluaran baharu, menyuntik kaedah dan mekanisme moden agar produktiviti bahan makanan dapat segera ditingkatkan.

“Program melahirkan petani, penternak dan nelayan moden wajib diberikan keutamaan,” titah baginda.

Dalam pada itu, Sultan Nazrin bertitah, hasrat untuk membangunkan negeri dengan lebih pesat bergantung kepada kekuatan sumber kewangan kerajaan.

Di Perak, titah baginda, dianggarkan terkandung 1.7 juta tan sumber nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) dan sumber itu adalah mineral terpenting pada masa kini serta masa hadapan kerana digunakan secara meluas dalam pelbagai industri teknologi tinggi, industri perubatan dan industri pertahanan.

Baginda bertitah, pengalaman kerosakan muka bumi yang ditinggalkan dan harga yang perlu dibayar oleh negeri dan rakyat pasca aktiviti perlombongan bijih timah wajib dijadikan sebesar-besar pengajaran.

“Faktor kesihatan, keselamatan, alam sekitar dan manfaat jangka panjang negeri dan rakyat wajib diutamakan dan tidak boleh dikorbankan.

“‘Pada masa yang sama, negeri Perak tidak wajar berpuas hati berperanan semata-mata sebagai pengeluar bahan mentah, sebaliknya pengeluaran bahan mentah hendaklah dilengkapi dengan aktiviti hiliran.

“Ia agar bahan mentah yang dilombong, dilengkapi dengan nilai tambah yang dapat memberikan pulangan hasil yang lebih bermakna dan membuka peluang kerja aras tinggi kepada rakyat tempatan,” titah baginda.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *