Oleh RIZQI ZABIDI
Seramai 28 individu yang tinggal dalam kawasan banjir di Yan ekoran tragedi kepala air di Gunung Jerai pada Rabu lalu, disahkan positif Covid-19.
Pengarah Kesihatan Negeri Kedah, Dr. Othman Warijo berkata, sebanyak tiga kes telah dimasukkan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani untuk rawatan lanjut sementara 10 kes lagi dimasukkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) dalam daerah sama.
Selain itu katanya, sebanyak 15 kes lagi yang didapati tidak bergejala serta bergejala ringan, terus tinggal di rumah masing-masing dengan diawasi Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) Yan.
“Terdapat juga 41 individu diletakkan di bawah pengawasan (PUS) yang tinggal di rumah masing-masing.
“Mereka akan diawasi secara bersepadu oleh pasukan pemantau polis bersama agensi penguatkuasa lain serta Pusat Kesihatan Daerah (PKD) Yan,” katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.
Sementara itu katanya, seramai 275 pegawai dan anggota yang terlibat dalam misi mencari dan menyelamat turut menjalani saringan menggunakan kit ujian pantas (RTK) Saliva sebaik misi itu berakhir semalam.
“Mereka terdiri daripada pegawai serta anggota bomba, tentera, polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Majlis Daerah Yan dan pelbagai agensi menyelamat lain termasuk malim gunung.
“Kesemua individu terlibat didapati negatif walaupun seorang daripadanya perlu dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar bagi menjalani ujian lanjut,” katanya.
Othman menambah, sebagai langkah pencegahan, PKD Yan telah mengambil beberapa langkah segera selepas bencana itu berlaku antaranya dengan membuat penilaian kesihatan segera terhadap semua kawasan pesakit Covid-19 dan merujuk pesakit berkenaan ke PKRC atau hospital.
Selain itu katanya, penilaian kesihatan fizikal dan psikososial turut dilaksanakan dengan pihaknya sudah mengunjungi sebanyak 156 buah rumah di Yan.
“PKOB Yan juga telah membuat ketetapan supaya semua badan bukan kerajaan (NGO) yang terlibat dalam kerja sukarela di daerah itu perlu lengkap divaksin dan membuat saringan Covid-19.
“Tindakan pencegahan segera oleh PKD Yan dan agensi lain berjaya mengesan awal masalah kesihatan dihadapi penduduk terkesan banjir. Langkah itu membantu mereka mendapatkan rawatan lebih awal serta mencegah penyakit berjangkit termasuk Covid-19 daripada terus merebak,” katanya.
Leave a Reply