undi

Tak perlu usul undi percaya, dunia akan ketawakan kita kalau tukar PM lagi – Tun M

TUN Dr Mahathir Mohamad berkata, usul undi percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, di Parlimen tidak lagi perlu dilakukan kerana memberi risiko berulang pergolakan politik dalam negara.

“Saya tidak fikir perkara itu (elok dilakukan) kerana kita tak nak tukar sekali lagi Perdana Menteri.

“Kalau ke Parlimen, dia (Ismail Sabri) tak dapat majoriti, (Perdana Menteri) kena tukar lain dan dunia ketawakan kita,” katanya pada sidang media di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Langkawi, hari ini.

Beliau mengulas gesaan Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah, supaya undi percaya terhadap Perdana Menteri dibuat segera di Parlimen.

Pada soalan mengenai slogan ‘Keluarga Malaysia’ yang diperkenal Ismail Sabri, Dr Mahathir berkata, slogan itu perlu disusuli cara bekerja oleh pemimpin dan rakyat.

“Kalau tukar slogan, tapi buat kerja macam itu juga tak guna…mengarut sahaja dan kita khuatir (kemampuan) dia (Ismail Sabri) bawa cara baharu atau tidak.

“Kalau kita lihat dari segi penyokong kerajaan adalah orang sama… tiada beza langsung, cuma yang tukar Perdana Menteri,” katanya.

Ismail Sabri dilantik sebagai Perdana Menteri Kesembilan pada Sabtu lalu, menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meletak jawatan selepas kehilangan majoriti sokongan Ahli Dewan Rakyat.

Ahli Parlimen Bera itu diberi perkenan dan dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong sebagai Perdana Menteri selepas mendapat sokongan 114 Ahli Dewan Rakyat menerusi surat pencalonan rahsia.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *