Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
RAJA Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail berharap Perdana Menteri yang baru dilantik mampu mengurus dan menangani pandemik Covid-19 yang memberi kesan mendalam terhadap kehidupan rakyat.
Tuanku Syed Sirajuddin juga berharap pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membawa kepada kestabilan negara.
“Beta ingin merakamkan setinggi-tinggi ucapan tahniah kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob di atas pelantikan sebagai Perdana Menteri kesembilan dan berharap agenda pembangunan negara dapat diteruskan.
“Ini bagi meningkatkan taraf sosial ekonomi rakyat yang terjejas akibat wabak pandemik Covid-19,” titah baginda ketika menyempurnakan Istiadat Perasmian Penggal Persidangan Keempat, Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-14 di Kompleks DUN Perlis, Kangar, hari ini.
Turut berangkat Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Baginda bertitah, kombinasi dua situasi iaitu wabak Covid-19 dan iklim politik negara yang tidak menentu memberi kesan negatif kepada agenda pembangunan negara yang secara amnya terjejas dengan serius.
Titah Tuanku Syed Sirajuddin lagi, kekeliruan dan ketidaktentuan politik ini juga tidak sihat kepada iklim pelaburan negara dan pelabur tidak akan tertarik untuk melabur dalam situasi begini.
“Pelabur sedia ada mungkin akan menarik pelaburan mereka dan berhijrah ke negara lain yang dilihat lebih menarik,” titah baginda.
Titah baginda jika situasi begini berterusan bakal merencatkan agenda pembangunan negara.
“Bagaimanapun beta merasa agak lega kerana iklim politik di Perlis adalah tenang dan stabil. Beta ingin menyeru supaya ahli berhormat (Ahli Dewan Undangan Negeri) sentiasa berfikiran rasional dan saling bekerjasama dalam mengekalkan kestabilan ini,” titah baginda.
Tuanku Syed Sirajuddin bertitah baginda bersyukur kerana Perlis telah memasuki Fasa Tiga Program Pemulihan Nasional (PPN).
Leave a Reply