Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
PENSYARAH Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Muhammad Hasbullah Padzillah kini mencipta nama dan fenomnea baharu dalam saluran YouTube menerusi Channel Hasbullah Syarah.
Lebih menarik lagi video yang disiarkan melalui saluran Hasbullah Syarah dalam laman sesawang YouTube itu menerima 147,000 pengikut dan lebih 10 juta tontonan walaupun baru bertapak tidak sampai setahun yang lalu.
Pensyarah dari Sekolah Kejuruteraan Mekanikal, Fakulti Kejuruteraan UTM itu menyampaikan syarahan mengenai teknologi automotif menerusi salurannya itu dan penontonnya datang daripada pelbagai lapisan masyarakat.
Beliau merupakan pakar dalam bidang kejuruteraan mekanikal telah menerbitkan video informatik berbentuk penerangan teknologi automotif dengan pendekatan yang sangat santai dan sesuai dengan pelbagai lapisan masyarakat.
“Video saya lebih bersifat teori dan penjelasan secara saintifik di sebalik sesuatu isu berkaitan kenderaan.
“Ini memudahkan saya membuat penerangan tentang enjin kenderaan secara am sekaligus memberikan pengetahuan kepada semua orang yang ingin tahu tentang enjin tanpa membataskan kepada jenama dan model tertentu sahaja,” katanya ketika ditemui hari ini.
Dr. Muhammad Hasbullah pernah menarik perhatian dunia sebelum ini apabila berjaya memecah rekod menjadi graduan termuda bergelar doktor falsafah iaitu pada usia 25 tahun dari Imperial College London, United Kingdom.
Mengulas lanjut, beliau berkata, antara isi perkongsian dalam saluran Hasbullah Syarah ialah isu semasa dalam teknologi automotif dan juga teknologi dalam enjin kereta secara umum.
“Saya juga berkongsikan perkara yang boleh merungkai persoalan dan mitos-mitos penjagaan kereta seperti keperluan untuk memanaskan enjin di waktu pagi dan juga memasukkan gear Neutral atau N sewaktu berhenti di lampu isyarat bagi pengguna transmisi automatik,” katanya.
Ditanyakan harapannya melalui penggunaan saluran YouTube dalam memberikan pendidikan tentang teknologi automotif ini, beliau yang telah menerbitkan sebanyak 150 siaran video ini berkata, akan meningkatkan lagi perkongsian melalui medium sama pada masa hadapan.
“Harapan saya adalah supaya perkongsian yang saya berikan di YouTube dapat dijadikan ilmu pengetahuan yang berguna untuk dimanfaatkan oleh masyarakat Malaysia.
“Perkongsian maklumat yang tepat sangat penting di era teknologi maklumat ini supaya masyarakat tidak keliru dan mempercayai berita palsu,” katanya lagi.
Menurutnya, bagi mengelakkan perkongsian maklumat yang tidak tepat, kajian yang komprehensif akan terlebih dahulu dilaksanakan sebelum perkongsian di YouTube dilakukan.
Leave a Reply