lonjakan

Ops Lonjakan Kapasiti:27 PPV di Lembah Klang ditutup

SEBANYAK 27 pusat pemberian vaksin (PPV) di Lembah Klang yang terbabit dalam Ops Lonjakan Kapasiti Lembah Klang sudah ditutup setakat hari ini.

Jawatankuasa Jaminan Akses Bekalan Covid-19 (JKAV) berkata, penutupan yang bermula semalam itu melibatkan sebanyak 26 PPV membabitkan daerah Gombak, Klang, Kuala Selangor, Petaling, Sabak Bernam, Sepang, Hulu Langat, Hulu Selangor dan Kuala Lumpur.

Menurutnya, satu lagi PPV iaitu Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC 1&2) ditutup bermula hari ini.

“Ops Lonjakan Kapasiti Lembah Klang telah berjaya memvaksinasi hampir keseluruhan penduduk di Lembah Klang dengan sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

“Oleh itu, beberapa PPV di Lembah Klang telah dan akan ditutup secara berperingkat-peringkat,” katanya menerusi hantaran Facebook, semalam.

Antara 26 PPV yang ditutup semalam adalah Dewan Alwy Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (Gombak), Hotel Premiere Klang (Klang), Institut Pengurusan Peladang (Kuala Selangor), Persada Plus (Petaling), Dewan Seri Sekinchan (Sabak Bernam), Dewan Serbaguna Bandar Baru Salak Tinggi (Sepang), Kajang Mewah Club (Hulu Langat), Dewan Komuniti Serendah (Hulu Selangor) dan Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (Kuala Lumpur).

JKJAV pada masa sama berkata, PPV Dewan Canselor, MSU (Petaling) pula akan ditutup esok, manakala PPV Mahsa University (Kuala Langat) akan ditutup pada 29 Ogos ini.

Ujarnya, dua lagi PPV iaitu Dewan MPSJ Puchong Indah dan Dewan Meranti 2, Seksyen U20 di Petaling pula akan ditutup pada 6 September ini.

“Selain itu, dua lagi PPV iaitu Kompleks Sukan Majlis Perbandaran Kuala Langat dan Dewan Sivik MBPJ di Petaling akan ditutup pada 30 September ini,” katanya.

Dalam hantaran berasingan, JKJAV berkata, PPV Stadium Nasional Bukit Jalil tidak lagi menerima walk-in bukan warganegara bermula semalam dan akan digantikan dengan vaksinansi melalui kaedah temu janji.

Tambahnya, untuk mendapatkan janji temu, individu perlu mendaftar bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) melalui MySejahtera, laman sesawang www.vaksincovid.gov.my atau hubungi talian 1800-888-828.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *