mayat

Mayat penternak lembu ditemui dengan kesan tikam, tembak

RIZQI ZABIDI

MAYAT seorang penternak lembu ditemukan dalam keadaan menyayat hati dengan kesan tikaman dan tembakan di tepi jalan Ladang Kelapa Sawit Kongsi 14 di Bedong, dekat Sungai Petani malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, mayat tersebut ditemukan dua individu yang melalui kawasan itu kira-kira pukul 11 malam.

“Dua individu berkenaan mulanya ternampak motosikal mangsa di tepi jalan. Mereka kemudiannya menemukan pula mayat mangsa yang berusia 38 tahun dalam keadaan tertiarap kira-kira tiga meter dari situ.

“Pemeriksaan unit forensik mendapati terdapat kesan tembakan di depan dan belakang badan mangsa. Selain itu terdapat juga kesan tikaman di depan badannya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya, polis turut menemukan kelongsong peluru dipercayai digunakan dalam kejadian itu.

“Semakan mendapati mangsa memiliki lima rekod jenayah lampau dan motif kejadian masih belum dikenal pasti.

“Siasatan lanjut kini masih dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan mayat mangsa dibawa akan dibedah siasat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *