Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
KADAR vaksinasi negara di dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) semakin menunjukkan peningkatan positif sehingga 38 peratus penduduk dewasa di negara ini sudah lengkap dua dos vaksin.
Dengan peningkatan kadar vaksinasi yang semakin memberangsangkan ini, amatlah penting untuk kerajaan menambah baik sistem yang boleh mengenal pasti status vaksinasi rakyat Malaysia apabila beberapa kelonggaran diberikan kepada mereka yang sudah lengkap dua dos.
Memetik artikel hype.my, kerajaan telah melancarkan satu aplikasi telefon pintar yang direka khas untuk mengesahkan ketulenan sijil vaksinasi digital yang dipanggil ‘Vaccine Certificate Verifier’ baru-baru ini.
Aplikasi berkenaan dilancarkan pada 20 Ogos lalu, beberapa hari sebelum kemaskini terbaharu aplikasi MySejahtera dengan perubahan dilakukan ke atas kod QR sijil vaksinasi digital.
Bagaimanapun, kemas kini terbaharu MySejahtera ini difahamkan terhad kepada pengguna iOS dan peranti-peranti Huawei sahaja buat masa ini.
Sebelum ini, kod QR yang tersedia dalam MySejahtera boleh diimbas dengan menggunakan mana-mana pengimbas QR yang akan membawa pengguna kepada sijil vaksinasi digital di laman web Kementerian Kesihatan.
Sementara dengan kemas kini terbaharu aplikasi MySejahtera, pengguna perlu menggunakan aplikasi ‘Vaccine Certificate Verifier’ untuk mengimbas kod QR sijil vaksinasi digital di MySejahtera.
Namun, menurut hype.my lagi, kod QR sijil vaksinasi digital itu masih boleh diimbas dengan menggunakan mana-mana pengimbas kod QR yang lain.
Memetik artikel lowyat.net pula, penerangan kepada aplikasi ini di Google Play, Huawei AppGallery dan iOS App Store mengatakan aplikasi ini turut boleh digunakan untuk mengimbas sijil kesihatan digital dari negara luar yang mempunyai perjanjian pengiktirafan bersama (MRA) dengan Malaysia.
Difahamkan, aplikasi tersebut buat masa ini boleh mengimbas sijil dari Singapura dan juga Kesatuan Eropah (EU).
Kemaskini terbaharu MySejahtera ini bagaimanapun masih belum dikeluarkan bagi pengguna Android setakat pagi ini walaupun aplikasi ‘Vaccine Certificate Verifier’ sudah boleh dimuat turun oleh mereka.
Leave a Reply