Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
YANG di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Ali Mohd Rustam yakin Perdana Menteri ke-9, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mampu menangani penularan wabak Covid-19 serta memulihkan ekonomi negara.
Pengalaman luas Ahli Parlimen Bera itu katanya, dalam pentadbiran kerajaan serta pengurusan pelbagai pertubuhan dan agensi membolehkan beliau mentadbir negara dengan baik dan cemerlang dengan dibantu barisan Kabinet yang berkaliber serta berintegriti.
Sambil mengucapkan tahniah kepada Ismail Sabri atas pelantikan itu, beliau mengajak semua pihak terutama kakitangan awam untuk memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pentadbiran Perdana Menteri bagi membolehkan hasrat membangunkan negara serta memulihkan semula ekonomi tercapai.
Nasihat beliau itu selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah agar semua perancangan pemulihan negara yang dibuat bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini diteruskan.
Pentadbiran Muhyiddin sebelum ini telah berjaya melaksanakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang menyaksikan 56.9 peratus atau 13,315,774 orang berjaya diinokulasikan seperti yang dilaporkan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin COVID-19 (JKJAV) hari ini.
Turut dilaporkan hari ini, program yang dilaksana telah berjaya menurunkan kadar kebolehjangkitan virus berkenaan.
“Saya meminta semua lapisan masyarakat untuk terus bersatu padu, saling hormat-menghormati, tolong-menolong dan bekerjasama.
“Kepada pemimpin pula, sekarang adalah masa untuk menggalas amanah untuk membangunkan sosio-ekonomi rakyat, jangan harus ada (rakyat) yang tertinggal dan ditinggalkan (dalam aspek pembangunan). Berpolitiklah secara sihat dengan penuh tanggungjawab dan berintegriti tinggi, berprinsip dan bermaruah,” katanya dalam satu perutusan sempena sambutan hari jadi ke-72, hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd. Ali berkata, kestabilan kerajaan adalah tunjang kemakmuran negeri dan negara, terutama apabila negeri dan negara sedang diuji dengan penularan pandemik COVID-19.
“Ingatlah, kita bukan sahaja mewarisi keamanan hari ini dari generasi terdahulu, bahkan kita sebenarnya sedang meminjamnya dari generasi akan datang,” katanya.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada barisan kepemimpinan serta anggota pentadbiran negeri kerana berusaha keras memastikan Melaka terus melakar kecemerlangan.
Tidak ketinggalan, katanya, penghargaan juga diucapkan kepada seluruh rakyat termasuk penjawat awam, pasukan keselamatan serta kakitangan swasta yang memberikan perkhidmatan serta jasa bakti kepada pembangunan Melaka.
Terdahulu, Mohd. Ali bersama-sama isterinya, Toh Puan Asmah Abdul Rahman melakukan upacara memotong kek sempena sambutan hari jadi beliau.
Majlis ringkas yang penuh simbolik itu diadakan di kediaman rasmi beliau di Istana Melaka, Bukit Beruang, Melaka.
Leave a Reply