JABATAN Imigresen Negeri Sembilan (JIMNS) menahan 55 pendatang asing tanpa izin dalam satu operasi di sebuah kilang pembuatan seramik di Kawasan Perindustrian Nilai, dekat sini semalam.
Pengarahnya Kennith Tan Ai Kiang berkata kesemua 48 warga Bangladesh dan tujuh warga Nepal itu ditahan dalam operasi bermula 7.30 pagi selepas disyaki melanggar Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal lebih masa di negara ini dan tidak memiliki dokumen perjalanan sah.
Beliau berkata serbuan oleh seorang pegawai kanan dan 17 anggota imigresen itu mendapati kilang berkenaan memiliki seramai 241 pekerja warga asing dari Bangladesh dan Nepal.
“Kesemua mereka ditahan mengikut Seksyen15(1)(c) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 bagi siasatan lanjut dan pendakwaan.
“Mereka turut didapati tidak memohon untuk menyertai program Rekalibrasi Tenaga Kerja yang dijalankan oleh Jabatan Imigresen Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, orang ramai diminta menyalurkan maklumat mengenai pendatang asing tanpa izin supaya tindakan penguatkuasaan dapat dijalankan.- BERNAMA
Leave a Reply