Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
BEKAS Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Ghazali Seth meninggal dunia di Hospital Cardiac Vascular Sentral Kuala Lumpur (CVSKL), hari ini.
Menerusi perkongsian di Facebook Kelab Pesara Pegawai Tentera (RAFOC), Ghazali Seth berusia 92 tahun, menghembuskan nafas terakhir pada 10.30 pagi tadi.
“Urusan jenazah akan dilaksanakan di Masjid Khalid Al Walid, Jalan Padang Tembak, dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara,” menurut perkongsian itu.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein turut menyatakan dukacitanya dengan pemergian tokoh negara itu menerusi laman sosial Twitter.
“Tan Sri Mohd. Ghazali Seth telah pulang ke Rahmatullah, perkhabaran yang amat menyedihkan bagi kami sekeluarga.
“Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham dan menempatkannya bersama para hambaNya yang diredhai, Al-Fatihah,” katanya.
Ghazali memegang jawatan sebagai Panglima Tentera Darat dari 1977 hingga 1982 dan kemudian dilantik Panglima Angkatan Tentera ke-7 selama tiga tahun berakhir 1985.
Selepas bersara, Ghazali pernah berkhidmat sebagai pengerusi Nestle Malaysia Berhad.
Leave a Reply