Anggota tentera tetap tolak vaksin walaupun beberapa kali dikaunseling

Susunan ABU UBAIDILLAH RAHMAN

SESI kaunseling yang diadakan beberapa kali kepada seorang anggota tentera gagal mengubah pendiriannya apabila tetap enggan mengambil vaksin Covid-19.

Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd. Zain berkata, tindakan buang kerja terpaksa diambil mengikut peraturan sedia ada demi menjamin keselamatan semua pihak.

“Tindakan menghentikan perkhidmatan anggota itu tidak dibuat secara terburu-buru kerana kita sudah panggil anggota itu untuk beberapa sesi kaunseling dan temuduga berkaitan perkara berkenaan.

“Kaedah komunikasi dibuat secara dua hala, malah kita turut perjelaskan mengenai implikasi untuk tidak ambil vaksin dan anggota itu dilihat faham,” katanya kepada BH, hari ini.

Semalam, Tentera Darat Malaysia (TDM) mengesahkan seorang anggotanya diberhentikan kerja kerana menolak pengambilan vaksin Covid-19.

TDM dalam kenyataan dipetik berkata, itu susulan setiap anggotanya wajib mengambil suntikan vaksin, terutama sebelum melaksanakan penugasan dan kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan mereka dikenakan tindakan tatatertib kerana ingkar perintah ditetapkan.

Terdahulu, sebuah portal berita melaporkan Sarjan Wan Ramli Wan Seman mendakwa perkhidmatannya hampir 20 tahun ditamatkan berkuat kuasa Khamis ini, selepas ingkar arahan untuk mengambil vaksin.

Wan Ramli, 39, dari Batalion ke-24 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) di Rasah, Negeri Sembilan dikatakan akan kehilangan pencen yang sepatutnya diterima 16 bulan lagi.

Mengulas lanjut, Zamrose berkata, menjadi satu keperluan bagi petugas barisan hadapan termasuk tentera untuk mengambil vaksin kerana sentiasa berada di lapangan menjalankan tugas.

“Kita berinteraksi dengan ramai orang dan secara berkelompok. Bila anggota itu tidak mahu ambil vaksin, apa pilihan lain yang kita ada (selain buang kerja),” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *