Agong, Raja Permaisuri zahir takziah kepada keluarga Allahyarham Ghazali

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga bekas Panglima Angkatan Tentera, Jen (B) Tan Sri Mohd. Ghazali Mohd. Seth yang meninggal dunia hari ini.

Seri Paduka Baginda berdua turut menzahirkan rasa sedih dengan pemergian Allahyarham dan menzahirkan harapan agar seluruh keluarganya sabar menghadapi dugaan serta suasana sedih itu.

Menurut satu kenyataan dimuat naik dalam Facebook Istana Negara, Seri Paduka Baginda berdua mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama para solihin.

“Yang di-Pertuan Agong selaku pemerintah tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) amat menghargai khidmat bakti, jasa serta pengorbanan Allahyarham kepada ATM dan juga negara,” demikian menurut kenyataan berkenaan.

Mohd. Ghazali, 92, yang merupakan Panglima Angkatan Tentera ketujuh, meninggal dunia di Hospital Cardiac Vascular Sentral Kuala Lumpur.

Menurut kenyataan Istana Negara itu, Allahyarham yang dilahirkan pada 4 Februari 1929 di Johor Bahru, pada awal penglibatannya bersama ATM telah memulakan latihan pegawai kadet di Eaton Hall, England pada 1952.

Dari Eaton Hall, Allahyarham pernah terpilih untuk menjalani latihan di Royal Military Academy Sandhurst sehingga 1954, sebelum memulakan perkhidmatan bersama ATM di Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) yang berpangkalan di Alor Setar, Kedah.

Sebagai Ketua Platun, Allahyarham pernah mengetuai operasi menentang pengganas komunis di Sungai Siput, Bidor dan Alor Setar.

Allahyarham juga pernah berkhidmat sebagai atase tentera di Jakarta pada 1958 dan merupakan penasihat tentera Malaysia yang termuda dan pertama ke Indonesia pada ketika itu.

Pada tahun 1977, Allahyarham dilantik sebagai Panglima Tentera Darat bagi tempoh lima tahun hingga 1982 sebelum dilantik sebagai Panglima Angkatan Tentera ketujuh dari 1982 hingga 1985.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *