SETELAH tular laporan sebuah portal berhubung pemecatan seorang anggota tentera kerana menolak untuk mengambil vaksin, Tentera Darat Malaysia (TDM) hari ini tampil menjelaskan perkara itu.
Menerusi satu kenyataan media dikeluarkan Sel Perhubungan Raya Tentera Darat menjelaskan, pengambilan vaksin dalam kalangan anggota TDM adalah diwajibkan.
Namun pengambilan vaksin dikecualikan kepada mereka yang tergolong dalam kumpulan tidak layak berbuat demikian.
Menurutnya, tindakan seseorang anggota tentera yang ingkar atau enggan untuk menerima vaksin, boleh menyebabkan mereka dikenakan tindakan tatatertib kerana ingkar perintah atau melanggar perintah tetap.
“Pengambilan vaksin dalam kalangan anggota TDM diwajibkan atas dasar anggota TDM hidup secara berkelompok. Selain itu, peranan dan tanggungjawab TDM kini sebagai petugas barisan hadapan dalam melaksanakan penugasan mahupun latihan, turut berdepan dengan kebolehjangkitan COVID-19,” jelas kenyataan itu.
“Sehubungan itu, adalah wajar untuk kesemua anggota TDM mengambil vaksin bagi mengekang penularan yang bukan sahaja akan berlaku dalam kalangan anggota TDM, bahkan boleh menjangkiti keluarga anggota TDM dan masyarakat keseluruhannya,” kata kenyataan itu lagi.
Kenyataan itu menambah, vaksinasi juga bertujuan mendokong hasrat dan aspirasi kerajaan untuk mencapai imuniti kelompok, seterusnya memutuskan rangkaian penularan Covid-19 di negara ini.
“Setiap anggota TDM hendaklah mematuhi dan menuruti perintah yang telah dikeluarkan, bagi menentukan misi/kesiapsiagaan organisasi tercapai,” katanya.
Terdahulu, sebuah portal melaporkan anggota tentera dikenali Sarjan Wan Ramly Wan Seman mendakwa perkhidmatannya hampir 20 tahun ditamatkan berkuat kuasa Khamis ini, selepas ingkar arahan untuk mengambil vaksin.
Wan Ramly, 39, daripada Batalion ke-26 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) di Rasah, Negeri Sembilan dikatakan akan kehilangan pencen yang sepatutnya diterima 16 bulan lagi.
Anggota itu turut mendakwa setiap rakyat mempunyai hak untuk tidak mengambil vaksin dan berkhidmat sebagai tentera tidak menjadikan beliau berbeza dengan individu lain.
Leave a Reply