Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
PERSIDANGAN Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan kali ke-14 merakam ucapan tahniah kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob atas pelantikan beliau menerajui negara bermula 21 Ogos lalu.
Speaker DUN, Datuk Abdullah Ya’kub menyampaikan ucapan tahniah tersebut selepas bacaan doa pembukaan persidangan tersebut di Kompleks Kota Darulnaim, Kota Bahru, hari ini.
“Besar harapan rakyat untuk melihat negara dipacu ke arah yang lebih baik bagi mendepani cabaran semasa politik dan ekonomi selepas ini,” katanya.
Persidangan DUN Kelantan kali ini diadakan secara bersemuka dengan kehadiran 45 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.
Abdullah berkata, semua yang hadir perlu mengisi kedatangan dan membuat imbasan, memakai pelitup muka dan menjaga penjarakan sosial seperti ditetapkan.
“Ucapan terima kasih juga buat warga Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang menjalankan ujian saringan Covid-19 kepada kami (ADUN dan petugas DUN) semalam,” katanya.
Persidangan DUN turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga ADUN Melor, Dr Md Yusnan Yusof yang meninggal dunia pada April lalu, selain kepada keluarga ADUN Kemuning, Mohd. Roseli Ismail yang kehilangan seorang ahli keluarga pagi ini.
Leave a Reply