Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
UNIT Pemusnah Bom (UPB) Kontinjen Johor bersama-sama Sub Unit UPB Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang memusnahkan sebutir bom lama di Ladang Tradewind Sembrong Kiri, Kluang, semalam.
Bom lama itu ditemukan seorang penduduk ketika menjalankan semasa kerja-kerja mengorek tali air di ladang itu pada jam 10 pagi.
Polis Johor menerusi Facebook rasminya memberitahu, bom itu panjang 45 inci dan berukur lilit 47 inci.
“Bom tersebut dianggarkan seberat 226 kilogram. UPB Kontinjen Johor bersama-sama Sub Unit UPB IPD Kluang sudah menjalankan tindakan pemusnahan bom lama jenis Aerial Bomb itu.
“Bom lama itu dipercayai digugurkan dari udara sewaktu konfrantasi menentang komunis di antara tahun 1953 hingga 1957
,” jelas kenyataan tersebut, hari ini.
Jelas kenyataan itu, seramai lima pegawai dan 25 anggota terlibat bagi memastikan kelancaran operasi pemusnahan tersebut dibantu UPB dan unit drone Pasukan Gerakan Udara Bukit Aman.
“Tindakan pemusnahan secara In Situation (In-situ) telah dijalankan dengan menggunakan teknik Low Order bagi mengelakkan kemusnahan yang besar,” tambah kenyataan itu.
Jelas kenyataan itu lagi, sekiranya bom tersebut dimusnahkan secara keseluruhan menggunakan kaedah ‘high order’ boleh menyebabkan kerosakan yang boleh menjangkau sehingga 1 kilometer radius dari lokasi.
Menurut kenyataan tersebut, pemusnahan telah dijalankan dengan jayanya tanpa sebarang kehilangan ke atas nyawa dan kerosakan ladang.
Polis Johor menyeru kepada orang ramai sekiranya menjumpai objek mencurigai atau dipercayai bom, sila lapor segera kepada mana-mana balai polis berhampiran untuk tindakan siasatan lanjut.
“Diingatkan juga supaya jangan diusik, dialih atau digerakkan objek tersebut bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku,” katanya.
Leave a Reply