PKP tidak menyumbang kelahiran bayi luar biasa di Sarawak

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

TEMPOH Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak menyumbang kepada kelahiran bayi luar biasa di Sarawak dan perkara itu dibuktikan melalui
statistik pendaftaran kelahiran yang didaftarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) negeri itu.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Masyarakat Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, bagi tempoh Januari sehingga Julai tahun ini menurun sebanyak 13,267 (50.45 peratus) berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu.

“Dalam tempoh Januari sehingga Julai lalu, sebanyak 13,031 kelahiran direkodkan berbanding 26,298 kelahiran pada tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena sesi pertemuan bersama JPN Sarawak dan Lembaga Pembangunan Penduduk dan Keluarga (LPPKN) Sarawak di pejabatnya, Bangunan Baitulmakmur di Petra Jaya, Kuching, hari ini.

Selain itu, Fatimah berkata, kelahiran anak Sarawak warganegara Malaysia yang mempunyai taraf pemastautin huruf ‘K’ berbanding jumlah kelahiran di Sarawak adalah sebanyak 33,304 pada 2019; 31,176 pada 2020 dan 13,031 hingga Julai tahun ini.

Beliau yang juga Pengerusi Ahli Majlis Pembangunan Sosial Sarawak berkata, statistik kematian yang didaftarkan di JPN pula menunjukkan peningkatan apabila mencatatkan 14,518 kematian pada tahun lalu berbanding 14,371 pada 2019.

Menurutnya, sehingga April tahun ini sebanyak 3,297 kematian didaftarkan.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *