Keluarga Malaysia

Pendekatan Keluarga Malaysia tepat pada masanya

PENDEKATAN baharu ‘Keluarga Malaysia’ yang dikemukakan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sangat tepat pada masanya ketika krisis politik, pandemik kesihatan serta situasi ekonomi yang sedang dihadapi oleh rakyat.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, Keluarga Malaysia menuntut kebersamaan semua pihak dalam menghadapi situasi ini serta muafakat dan semangat solidariti semua pihak untuk saling berganding bahu menangani setuasi mencabar yang dihadapi negara ketika ini.

Menurut beliau, dengan pengenalan dan pendekatan baharu Keluarga Malaysia, ternyata ia amat penting untuk seluruh rakyat terus maju dan bergerak ke hadapan sebagai sebuah keluarga merentasi sempadan agama, bangsa dan kaum demi membangun negara

“Ikatan serta nilai kekeluargaan ini amat penting ketika kita berhadapan dengan suasana getir untuk menjayakan agenda utama pemulihan negara” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Ismail Sabri dalam ucapan sulungnya semalam memperkenalkan pendekatan ‘Keluarga Malaysia’ bagi mengajak semua pihak termasuk Ahli Parlimen pembangkang untuk bersama-sama memulihkan ekonomi dan menangani masalah penularan pandemik COVID-19 secara menyeluruh.

Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya Sabah menambah, kebersamaan semua pihak bersama kerajaan terbukti dengan keterbukaan Perdana Menteri melalui rentas parti dengan mempelawa pembangkang melalui Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan jawatankuasa Khas Menangani COVID-19 yang sewajarnya disahut oleh pihak pembangkang.

“Semua pihak perlu bersatu melupakan segala perbezaaan demi mencapai kesejahteraan dan kebajikan rakyat” katanya.

Beliau menambah, komitmen kerajaan dibawah kepimpinan Perdana Menteri dalam menjaga kesihatan rakyat terbukti dengan kesediaan kerajaan membuat pembelian tambahan sejumlah enam juta dos vaksin.

Bung Moktar yakin Sabah akan menerima agihannya berdasarkan kepada bekalan yang ketika ini belum mencukupi.

“Kita beterima kasih kerana kerajaan terus memperhebatkan inisiatif dan strategi dalam meningkatkan liputan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang sedang berlangsung di mana kita yakin melalui melalui program ini pandemik COVID-19 akan dapat dilandaikan dalam segala sektor ekonomi akan dapat dipulihkan segera,” jelasnya.

Beliau turut menyatakan komitmen kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk terus mendukung usaha serta kesungguhan Perdana Menteri dalam menjayakan agenda Keluarga Malaysia terutamanya dalam menangani isu kesihatan dan ekonomi rakyat di negeri ini yang terjejas dengan penularan pandemik COVID-19

“Seperti saya maklumkan sebelum ini kita akan pertahankan kerajaan GRS, selari dengan mandat yang diberikan oleh rakyat selepas pilihan raya negeri (PRN) tahun lepas bagi menjaga kestabilan politik ,ekonomi dan kesihatan rakyat,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *