Oleh MOHD. LAZIM ENDUT
MAYAT seorang lelaki warga emas ditemukan sepasukan anggota bomba yang bertindak memecahkan pintu sebuah rumah kedai di Pulau Kambing, Kuala Terengganu, hari ini.
Ketika ditemui mayat lelaki yang dianggarkan berusia sekitar 60-an itu berada di dalam bilik air premis tersebut.
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu, Timbalan Penguasa Bomba, Rozizah Abni Hajar, sebaik menerima panggilan daripada polis pada pukul 11.30 pagi, anggotanya terus bergegas ke lokasi kejadian, lapor Sinar Harian.
Rozizah memberitahu, anggota terbabit tiba di lokasi pada pukul 11.36 pagi untuk membantu memecahkan pintu premis berkenaan.
“Sebaik menerima panggilan, seramai lapan anggota kami dikerahkan ke lokasi kejadian dan mereka hanya mengambil masa kira-kira 10 minit untuk memecah masuk ke dalam premis berkenaan.
“Sebaik pintu dibuka, pihak bomba menemui mayat seorang lelaki berada di dalam bilik air premis tersebut,” katanya.
Rozizah memberitahu, sewaktu memasuki premis itu, kesemua anggota bomba memakai pakaian perlindungan diri (PPE) sebagai persediaan keselamatan dalam tempoh pandemik Covid-19.
Katanya, mayat lelaki itu kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Leave a Reply