TINDAKAN sebuah bot nelayan tempatan Kelas B melanggar syarat sah lesen Akta Perikanan mengundang padah apabila ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Perak semalam.
Bot itu dikesan sedang menangkap ikan pada kedudukan kira-kira 4.4 batu nautika barat daya perairan Pulau Buloh, dekat Lumut pada pukul 6.45 petang.
Pengarah Maritim Perak, Kapten Maritim Shahrizan Raman berkata, tangkapan dibuat oleh bot ronda Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan Op Benteng dan Op Pintas di sempadan perairan negeri Perak.
“Hasil pemeriksaan mendapati bot itu dikendalikan empat kru warga Myanmar berumur dalam lingkungan 21 hingga 49 tahun dan tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.
“Semasa ditahan, bot terbabit didapati sedang melakukan aktiviti perikanan berhampiran Pulau Buloh dengan menggunakan pukat tunda sebagai alat penangkapan ikan,” katanya hari ini.
Mengulas lanjut, Shahrizan berkata, bot itu dipercayai melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 iaitu menangkap ikan kurang daripada lima batu nautika seperti kebenaran syarat sah lesen serta Akta Imigresen 1959/63.
Ujar beliau, bot serta empat kru termasuk tekong dan hasil tangkapan yang dianggarkan lebih kurang 400 kilogram dibawa ke Pusat Tahanan Vesel (PTV) Kampung Bharu.
“Sejurus tiba kira-kira pukul 9 malam, mereka kemudiannya diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Perak untuk tindakan lanjut,” tambahnya.
Leave a Reply